AHMAD PAZIL MD ISA

PERANG UHUD

 A


Dalam peperangan Uhud jumlah kaum musyrik tiga ribu sedangkan jumlah kaum Muslim tujuh ratus pasukan setelah pemimpin orang-orang munafik Abdullah bin Saba' mengundurkan diri pasukan. Kaum Muslim diletakkan di gunung dan Rasulullah S.A.W membuat rencana yang jitu untuk memenangkan pertempuran di mana baginda membagi pasukan pemanah di puncak gunung untuk melindungi belakang kaum Muslim dan melindungi mereka dari serangan dari arah belakang. Rasulullah S.A.W memberi pengertian kepada pasukan panah itu agar mereka tetap di tempatnya baik kaum Muslim menang mahupun kalah. Yakni bahawa pasukan pemanah tidak boleh turun dari gunung dan meski berusaha untuk melindungi kaum Muslim. Rasulullah S.A.W berkata kepada mereka. "lindungilah belakang-belakang kami. Jika kalian melihat kami sedang bertempur, maka kalian tidak usah turun darinya dan tidak usah menolong kami, dan jika kalian melihat kami memperoleh kemenangan dan mengambil ghanimah, maka kalian tidak boleh ikut serta bersama kami." 


Setelah membuat keputusan tersebut, Rasulullah S.A.W kembali ke pasukan yang lain, lalu baginda membikin perancangan untuk menyerang. Dan dimulailah peperangan kemudian pasukan Islam mendorong pasukan musyrik laksana angin yang kencang yang memporak-porandakan ribuan kaum musyrik. Pada tahap pertama pasukan Islam tampak menguasai medan dan berhasil menyapu kaum musyrik sehingga pasukan Mekah tampak berputus asa meskipun mereka unggul secara bilangan dan meskipun mereka memiliki kekuatan persenjataan yang lengkap, pasukan Mekah justru dikejutkan dengan ketangguhan pasukan Muslim yang dapat memukul mundur mereka hingga mereka membayangkan bahawa mereka tidak dapat memenangkan peperangan atau dapat bertahan di hadapan pasukan Muslim.


Debu-debu peperangan mulai berterbangan yang menyertai tanda-tanda kekalahan pasukan Mekah. Sementara itu, para pemanah yang diletakkan Rasulullah S.A.W di suatu tempat yang strategis berfikir untuk memperoleh ghanimah. Pasukan Mekah telah kalah dan mereka telah melarikan diri dari pasukan Muslim, maka bagaimana seandainya para pemanah turun dari tempat mereka untuk mengumpulkan harta rampasan dan ghanimah. Rasulullah S.A.W telah mengingatkan mereka agar jangan meninggalkan tempat mereka, apa pun yang terjadi tetapi pasukan pemanah itu justru berkhianat dan menentang perintah Nabi S.A.W setelah mereka membayangkan bahawa peperangan telah selesai dan keuntungan akan diperoleh pasukan Madinah yang beriman. 


Pasukan pemanah mengira bahawa ALLAH S.W.T akan menutupi kesalahan mereka dan akan melindungi mereka sehingga mereka berhasil mengambil harta rampasan dan ghanimah. Sungguh keikhlasan telah tercabut dari hati sebahagian pasukan. Belum lama hal tersebut berlangsung sehingga terjadilah perubahan yang drastik pada peperangan. Pemimpin pasukan berkuda musyrik dalam peperangan Uhud iaitu Khalid bin Walid yang kemudian dia menjadi tokoh Muslim adalah orang yang sangat genius dalam peperangan. Begitu dia melihat pasukan pemanah lari dari tempat mereka, maka dia melihat celah yang terbuka di tengah-tengah kaum Muslim, sehingga dia segera memutarkan kudanya dan disertai pasukan yang mengikutinya. Kemudian dia menyerang kaum Muslim dari belakang. Serangan yang dilakukan Khalid itu sangat cepat dan sangat mengejutkan. Orang-orang musyrik mengambil kesempatan emas. Mereka yang tadinya lari, kini mereka menarik diri dan justru menyerang kembali.


Pasukan Muslim dikepung dari dua arah oleh pasukan berkuda: satu dari belakang dan yang lain dari depan. Kemudian berjatuhanlah korban-korban dari pasukan Muhammad bin Abdillah. Banyak di antara mereka yang mati sebagai syahid saat mempertahankan dan melindungi Rasulullah S.A.W, bahkan sang Nabi pun hidungnya terluka dan giginya pun runtuh dan kepala baginda yang mulia terluka sehingga beliau mengucurkan darah.


Kemudian tersebarlah isu bahawa Muhammad S.A.W telah meninggal. Ketika mendengar itu, kaum Muslim sangat terpukul dan sangat sedih sehingga kaum Muslim pun terpecah-pecah. Sebahagian mereka kembali ke Mekah dan sekelompok yang lain keatas gunung dan mereka tetap menjaga Nabi S.A.W yang mulia. Ketika mendengar kematian Nabi, Anas bin Nadhir berkata kepada kaumnya: "Bangkitlah kalian dan matilah seperti kematiannya. Apa yang kalian lakukan setelah kalian hidup sesudahnya."


Pasukan Muslim tetap bertahan dan melakukan peperangan, lalu tekanan kaum musyrik semakin berat kepada Nabi S.A.W dan para sahabatnya. Kemudian terjadilah kejadian yang paling sulit dalam sejarah umat Islam. Nabi S.A.W berteriak saat melihat kaum musyrik menekannya dan berusaha membunuhnya: "Barang siapa yang dapat mengusir mereka dariku, maka baginya syurga." 


Mendengar perkataan itu, kaum Muslim segera mengelilingi Nabi S.A.W dan melindungi baginda sehingga banyak dari mereka berguguran sebagai syahid. Bahkan sahabat-sahabat Abu Juanah melindungi Nabi S.A.W sampai-sampai punggungnya dipenuhi dengan anak-anak panah. Dia bagaikan baju besi yang dipakai kepada Nabi S.A.W dan dia tetap kukuh melindungi Nabi S.A.W. Kemudian berubahlah keadaan kerana keteguhan dan keberanian yang diperlihatkan oleh kaum Muslim. Pasukan Mekah merasa puas dan mereka memilih untuk menarik diri. Saat itu orang-orang Quraisy tidak lebih sedikit penderitaannya daripada orang-orang Muslim.


Setelah peperangan yang dahsyat itu, kaum musyrik menarik diri setelah mereka berhasil membunuh beberapa orang Muslim, bahkan mereka berhasil melukai pemimpin pasukan yaitu sang Nabi S.A.W. Semua itu terjadi kerana satu kesalahan yaitu kesalahan terletak pada penentangan dan pembangkangan para pemanah terhadap perintah sang Rasul S.A.W dan usaha mereka untuk meninggalkan tempat mereka.


Ketika sebahagian kelompok dari sahabat kehilangan pengorbanan dan kehilangan sikap ikhlas dalam hati mereka, maka kesalahan tersebut harus dibayar oleh tentera yang paling berani dan mulia di antara mereka yaitu sang Nabi S.A.W. Langit tidak ikut campur untuk menyelamatkan pasukan Islam itu. Kesalahan kaum Muslim itu harus dibayar oleh Rasul S.A.W di mana wajah beliau pun terluka bahkan keluar darah yang cukup deras dari luka beliau sehingga setiap kali dituangkan air di atas luka itu, maka darah pun semakin deras mengucur. Darah itu tidak berhenti kecuali setelah dibakarkan potongan tembikar lalu dilekatkan di atasnya. 


Luka baginda bukan hanya bersifat materi tetapi luka spiritual baginda dan rohani baginda pun semakin bertambah. Ini baginda rasakan ketika mendengar bahawa bapa saudara baginda Hamzah gugur sebagai syahid dan tidak cukup dengan itu, bahkan isteri Abu Sofyan iaitu Hindun membelah perutnya dan mengeluarkan jantungnya serta mengunyahnya dengan mulutnya. Semua itu semakin menambah kesedihan sang Nabi. 


Kaum Quraisy menguasai pasukan Muslim dan mereka memperlakukan dan menekan kaum Muslim secara aniaya. Seandainya bukan kerana rahmat ALLAH S.W.T nescaya kaum Muslim akan mengalami kekalahan yang teruk. Kemudian turunlah dalam Al-Qur'an al-Karim ayat-ayat yang mendidik kaum Muslim agar mereka benar-benar ikhlas dan memahamkan mereka bahawa kekalahan mereka sebagai akibat dari adanya pasukan di antara mereka yang menginginkan dunia meskipun di antara mereka ada sebahagian yang menginginkan akhirat. Jika terjadi demikian, maka tidak ada jalan untuk memperoleh kemenangan. Ini bukanlah hal yang diinginkan oleh pasukan Muslim, yang diharapkan adalah hendaklah semua pasukan tertuju untuk mencapai ridha ALLAH S.W.T dan hanya mengharapkan akhirat. Jika demikian halnya, maka ALLAH S.W.T akan memberi mereka dunia dan akhirat. 


ALLAH S.W.T berfirman dan menceritakan peperangan Uhud dalam surah Ali 'Imran:


"Di antaramu ada orang yang menghendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang menghendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk menguji kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu. Dan Allah mempunyai kurnia (yang dilimpahkan) atas orang-orang yang beriman." (QS. Ali 'Imran: 152)


ALLAH S.W.T memaafkan hal itu. Orang-orang Muslim kini menghitung jumlah korban mereka dan mengubati orang-orang yang terluka. Rasulullah S.A.W bertanya tentang bapa saudara baginda Hamzah, dan ketika baginda mendapatinya di tengah-tengah sahabat yang gugur, dan orang-orang kafir telah merosak jasadnya, maka baginda berkata dalam keadaan menangis: "Tidak akan ada orang yang akan tertimpa sepertimu selama-lamanya." 


Kemudian Nabi S.A.W berdiri dan memuji ALLAH S.W.T lalu baginda memerintahkan untuk mengembalikan orang-orang yang terbunuh dari kaum Muslim ke tempat asal mereka di mana mereka terbunuh. Saat itu keluarga mereka telah membawanya ke kuburan kemudian Nabi S.A.W mengumpulkan kedua orang laki-laki dari pahlawan-pahlawan Uhud dalam satu pakaian dan baginda bertanya siapa di antara keduanya yang paling banyak mengambil manfaat dari Al-Qur'an. Jika diisyaratkan kepada salah satunya, maka baginda akan mendahulukannya untuk dimasukkan dalam liang lahad.


Rasulullah S.A.W juga memerintahkan agar mereka dikebumikan dengan darah mereka dan baginda pun tidak menyolati mereka, serta tidak memandikan mereka. ALLAH S.W.T ingin memperlihatkan bagaimana mereka dibangkitkan pada hari kiamat lalu baginda bersabda: "Tiada seorang pun yang terluka di jalan ALLAH S.W.T kecuali ALLAH S.W.T membangkitkannya di hari kiamat dalam keadaan di mana Iukanya akan mengucur darah. Warna itu adalah warna darah dan baunya seperti minyak misik." 


Bukanlah penderitaan yang dalam yang merupakan pelajaran yang harus dimengerti kaum Muslim dari peperangan Uhud sebagai akibat dari pembangkangan mereka dari perintah Rasul S.A.W dan ketidaktaatan mereka kepadanya, tetapi wahyu juga menurunkan berbagai pelajaran yang lain yang dapat dimanfaatkan. Pelajaran yang terpenting setelah pelajaran kesetiaan adalah penjelasan tentang sentral utama yang di situ kaum Muslim berkumpul. Peribadi Rasulullah S.A.W bukanlah markas yang di situ kaum Muslim berkumpul yang ketika peribadi Rasulullah S.A.W yang mulia pergi kerana satu dan lain hal, maka orang-orang Muslim akan pergi dan meninggalkan baginda. Tidak seharusnya peribadi Rasul S.A.W menjadi markas atau sentral tetapi yang menjadi sentral dari semuanya adalah pemikiran baginda. Itulah yang paling penting.


Demikianlah bahawa Al-Qur'an al-Karim mencela orang-orang yang meletakkan senjatanya ketika tersebar isu terbunuhnya Nabi S.A.W. Islam tidak akan mencapai puncaknya ketika kaum Muslim berkumpul di sisi Rasulullah S.A.W saat baginda masih hidup namun ketika baginda terbunuh atau mati, maka mereka murtad di mana mereka membuang senjatanya dan pergi mengurusi diri mereka sendiri. Orang-orang Islam adalah orang- orang yang mengikuti prinsip bukan mengikuti peribadi. Muhammad bin Abdillah memang seorang pemimpin manusia dan Imam para rasul dan penutup para nabi, dan sebagai makhluk ALLAH S.W.T yang paling mulia, namun ini semua tidak membenarkan bahawa seorang Muslim diperbolehkan untuk meletakkan senjatanya ketika Rasulullah S.A.W wafat atau terbunuh. Hendaklah seorang Muslim memanggul senjatanya dan tidak membuang dari tangannya kecuali dalam dua keadaan: pertama ketika dia telah memperoleh kemenangan dan kedua ketika dia telah mati.


Nas Al-Qur'an menjelaskan secara jelas hubungan kaum Muslim dengan akidah Islam, bukan dengan peribadi sang Rasulullah S.A.W. ALLAH S.W.T berfirman:


"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barang siapa yang berbalik ke belakang, maha ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (QS. Ali 'Imran: 144)


Demikianlah bahawa peperangan Uhud telah membawa dampak yang luar biasa terhadap kaum Muslim, utamanya terhadap Nabi S.A.W. Orang-orang yang terbunuh di perang Uhud adalah sahabat-sahabat yang paling mulia dan paling banyak imannya. Mereka adalah pilihan dari orang-orang Muslim yang pertama; mereka memikul beban dakwah di saat-saat yang sulit bahkan mereka harus berhadapan dan memusuhi kerabat mereka dan teman-teman mereka; mereka menjadi terasing saat menyatakan keislaman mereka sebelum hijrah dan sesudahnya; mereka telah menginfakkan harta; mereka berjuang di jalan ALLAH S.W.T; mereka telah bersabar dalam menanggung berbagai macam penderitaan, dan ketika datang saat yang paling berbahaya dan pasukan Islam telah terkepung di mana jiwa Rasulullah S.A.W telah terancam, mereka justru mencurahkan darah mereka bagaikan lautan yang menenggelamkan orang-orang kafir dan mereka mampu melindungi sang Rasul S.A.W dan mengubah jalan peperangan serta menyelamatkan akidah tauhid.


Peperangan Uhud bukanlah pengorbanan pertama yang dilakukan oleh kaum Muslim dan bukanlah merupakan peperangan yang terakhir. Ia adalah satu peperangan di antara cukup banyak peperangan yang dilalui oleh Islam untuk menyebarkan kalimat ALLAH S.W.T di muka bumi dan membimbing hamba-hamba-Nya. Begitu juga pengorbanan Rasul S.A.W, dan peperangan Uhud bukanlah pengorbanan yang pertama terhadap Islam dan bukan juga yang terakhir. 


Rasulullah S.A.W telah hidup setelah diutusnya kepada manusia di mana baginda telah memberikan semuanya untuk kehidupan dan untuk dakwah; baginda tidak memiliki dirinya sendiri; baginda tidak memboroskan waktunya dengan sia-sia bahkan baginda beristirahat sedikit saja. Semua kehidupan baginda diberikan kepada dakwah dan untuk Islam. Baginda menjalani berbagai macam peperangan dan baginda memikul berbagai macam penderitaan dan belum lama baginda lari dari suatu masalah kecuali baginda berhadapan dengan masalah yang baru dan lain; belum lama baginda menyelesaikan suatu krisis kecuali baginda menghadapi krisis yang lain. Demikianlah kehidupan sang Nabi S.A.W di mana baginda selalu memberikan kontribusi dan sumbangannya demi kepentingan agama ALLAH S.W.T.



DAKWAH ISLAM SELEPAS PERANG UHUD


Rasulullah S.A.W telah melalui pergelutan ketenteraan dalam berbagai macam pertempuran yang silih berganti yang baginda lakukan. Baginda memulai pergelutan politiknya yang terwujud dalam perundingan-perundingan dan surat-surat yang beliau kirimkan kepada penguasa dan para raja di berbagai negara agar mereka memeluk Islam, bahkan baginda melakukan pergelutannya dalam masalah peribadi di rumah tangga. Rumah tangga baginda pun tidak kosong dari pergelutan. Baginda adalah pejuang sejati dalam setiap waktu. Kalau kita mengenal Nabi Ibrahim sebagai seorang musafir di jalan ALLAH S.W.T, maka Muhammad bin Abdillah adalah seorang pejuang di jalan ALLAH S.W.T. Belum lama peperangan Uhud berakhir sehingga pengaruh-pengaruh buruknya berbekas pada kaum Muslim. Orang-orang Arab Badwi mulai berani bersikap kurang ajar kepada mereka, demikian juga orang-orang Yahudi, apalagi orang-orang munafik dan tidak ketinggalan orang-orang Quraisy pun mulai menyudutkan kaum Muslim.


Kemudian datanglah utusan dari kabilah Arab kepada Rasul S.A.W dan mereka mengatakan kepada baginda bahawa mereka mendengar tentang Islam dan mereka ingin memeluknya, maka hendaklah beliau mengutus kepada mereka beberapa dai dan mubaligh untuk mengajari mereka tentang dasar-dasar agama. Nabi S.A.W mengutus bersama mereka sekelompok para dai yang dipimpin oleh 'Ashim bin Tsabit. Ternyata orang-orang itu berkhianat atas para sahabat-sahabat yang berdakwah itu dan mereka pun dibunuh. Bahkan tiga di antara mereka ditawan dan dijual di Mekah. Dijualnya mereka di Mekah bererti mereka diserahkan pada kelompok orang-orang Quraisy yang telah lama menunggu untuk menangkap kaum Muslim. Kaum Quraisy Mekah membunuh tiga tawanan kaum Muslim itu. Orang-orang Muslim sangat sedih mendengar dai-dai ALLAH S.W.T itu terbunuh dengan cara yang begitu tragis. 


Ketika datang kepada Nabi S.A.W orang-orang yang minta pada beliau agar dikirim utusan dari kalangan mubaligh untuk menyebarkan Islam untuk para kabilah kaum Najd, maka Nabi kali ini betul-betul mempertimbangkan antara kepentingan menyebarkan Islam dan perlindungan terhadap kehormatan manusia. Lalu baginda memilih untuk kepentingan dakwah Islam. Baginda menyedari bahawa baginda mengutus para sahabatnya dalam bahaya; baginda memberitahu mereka bahawa mereka akan menghadapi suatu keadaan yang misteri yang tiada mengetahuinya kecuali ALLAH S.W.T. Namun bahaya tersebut sudah menjadi sebahagian dari cita rasa kehidupan yang selalu meliputi dakwah Islam.


Ketika Nabi S.A.W mengutarakan kekhuatirannya terhadap para sahabatnya yang bakal diutusnya di tengah kabilah itu, orang-orang yang meminta baginda untuk mengutus para sahabatnya menyakinkan baginda bahawa mereka akan melindungi sahabat baginda. Kemudian Nabi S.A.W memerintahkan tujuh puluh orang pilihan dari sahabatnya untuk pergi dan berjihad di jalan ALLAH S.W.T serta mengajak manusia untuk mengikuti Islam. Lalu pergilah para sahabat yang kemudian dikenal dengan sebutan al-Qurra' (iaitu orang-orang yang pandai membaca Al-Qur'an dan menghafalnya). Mereka adalah para dai yang terbaik yang diutus Nabi di mana pada siang hari mereka memikul kayu bakar dan pada malam hari mereka sibuk dalam keadaan solat. Ketika datang perintah Rasulullah S.A.W kepada mereka untuk pergi dan berdakwah mereka pun pergi dalam keadaan gembira kerana mereka diajak untuk berjihad di jalan ALLAH S.W.T. 


Mereka melangkahkan kaki dengan mantap di tanah orang-orang munafik dan para pengkhianat sehingga mereka sampai di suatu sumur yang bernama sumur Ma'unah. Kemudian mereka mengutus salah seorang di antara mereka untuk menemui pemimpin orang-orang kafir di negeri itu. Mubaligh dari sahabat Rasulullah S.A.W itu menyampaikan surat Nabi yang dibawanya di mana beliau mengharapkan agar masyarakat di situ masuk Islam, tetapi dia dikejutkan dengan adanya pisau yang menembus punggungnya. Mubaligh itu berteriak saat ia tersungkur: "sungguh aku beruntung demi Tuhan pemelihara Ka'bah.


Kemudian pemimpin orang-orang kafir itu mengangkat senjata dan mengumpulkan para kabilah untuk memerangi para mubaligh di jalan ALLAH S.W.T itu sehingga sahabat-sahabat terbaik yang berdakwah di jalan ALLAH S.W.T itu pun gugur di sumur Ma'unah. Jasad-jasad mereka menjadi makanan dari burung nasar dan burung-burung yang lain. Dari tujuh puluh orang yang dikirim itu hanya seorang yang selamat yang kembali kepada Nabi S.A.W. Dia menceritakan apa yang dialami oleh fuqaha-fuqaha Muslimin di mana mereka dikhianati. Ketika mendengar berita tentang tragedi itu, Nabi sangat terpukul dan sedih. Kemudian baginda mengangkat kepalanya dan berkata kepada sahabat-sahabatnya: "Sungguh sahabat-sahabat kalian telah terbunuh dan mereka telah meminta kepada Tuhan mereka. Mereka mengatakan, Tuhan kami, berikanlah kami ujian sesuai dengan kehendak-Mu dan ridha-Mu. Apa saja yang menjadi kepuasan-Mu kami pun akan merasakan kepuasan." 


Sungguh penderitaan yang dialami oleh Islam sangat berat, terutama yang menimpa para sahabat yang gugur sebagai syahid di sumur Ma'unah. Nabi S.A.W sangat sedih mendengar sikap orang-orang Arab dan orang-orang kafir terhadap Islam. Mereka telah mengejek dan merendahkan kaum mukmin sampai pada batas ini. Kemudian baginda menetapkan akan kembali mengangkat kewibawaan Islam dengan tindak kekerasan.


Dalam keadaan seperti ini, bergeraklah orang-orang Yahudi untuk membunuh Rasulullah S.A.W. Pada suatu hari baginda pergi ke Bani Nadhir untuk menyelesaikan suatu urusan. Kemudian mula-mula mereka menampakkan persetujuan atas apa yang diucapkan baginda. Mereka mendudukkan Nabi di bawah naungan benteng-benteng mereka, lalu mereka bersekongkol untuk melenyapkan baginda; mereka menetapkan untuk melemparkan batu yang berat dari atas benteng itu saat baginda duduk dan tidak membayangkan akan terjadinya kejahatan yang direncanakan padanya. Namun ALLAH S.W.T mengilhami Rasul-Nya akan datangnya bahaya kepada baginda, lalu baginda bangun sebelum pelaksanaan tipu daya itu. Lalu baginda segera pergi menuju rumahnya. Baginda berfikir saat beliau kembali ke rumahnya dengan membawa penderitaan yang baru. Pembangkangan dan pengkhianatan tersebut tidak akan dapat berhenti kecuali setelah Islam menunjukkan taringnya. Islam ingin mengembalikan kewibawaannya dengan cara mengangkat senjata.


Rasulullah S.A.W mengutus utusan ke Bani Nadhir dan memerintahkan mereka untuk keluar dari Madinah, bahkan Rasul S.A.W memberi waktu kepada mereka hanya sepuluh hari. Kemudian orang-orang munafik yang ada di Madinah bersatu bersama orang-orang Yahudi dan mereka sepakat untuk memerangi Islam. Namun ketika berhadapan dengan Islam, orang-orang Yahudi menelan kekalahan. Kemudian turunlah surah al-Hasyr yang menyebutkan pengusiran orang-orang Yahudi dan menyingkap topeng orang-orang munafik. Setelah kemenangan yang meyakinkan ini, Rasul S.A.W keluar bersama sahabatnya untuk membalas kejadian yang menimpa sahabat-sahabatnya yang dikenal dengan al-Qurra' itu. 


Rasul S.A.W ingin mengembalikan kewibawaan Islam. Kemudian pasukan Rasul S.A.W itu mampu membuat para pengkhianat dari orang-orang Arab ketakutan. Hanya sekadar mendengar nama pasukan Muslim, maka serigala-serigala gurun yang dulu bengis itu pun ketakutan laksana tikus-tikus yang panik yang bersembunyi di bawah lubang-lubang gunung. Orang-orang Quraisy mendengar kegiatan pasukan Islam. Pasukan Quraisy menarik diri saat mereka mendekati Dahran, sementara pasukan Muslim berada di Badar. Mereka menunggu pertemuan yang disepakati di Uhud. Orang-orang Muslim menyalakan api selama lapan hari sebagai bentuk tentangan dan menunggu kedatangan kaum kafir sehingga ketika mereka (kaum kafir) telah pergi, maka citra kaum Muslim pun terangkat setelah mereka menerima kepahitan dalam peperangan Uhud. 


Kaum Muslim menoleh ke arah utara jazirah Arab setelah menetapkan kewibawaan mereka di selatan. Kabilah di sekitar Daumatul Jandal dekat dengan Syam merampok di tengah jalan dan merampas kafilah yang berlalu di situ, bahkan kenekatan mereka sampai pada batas di mana mereka berfikir untuk menyerbu Madinah. Oleh kerana itu, Rasulullah S.A.W keluar bersama seribu orang Muslim yang mereka bersembunyi di waktu siang dan berjalan di waktu malam, sehingga setelah lima belas malam baginda sampai ke tempat yang dekat dengan tempat tinggal musuh-musuh mereka lalu mereka menyerbu tempat itu. Pasukan kafir itu dikejutkan dengan kedatangan kaum Muslim yang begitu cepat.


Demikianlah, terjadilah hari-hari pertempuran ketenteraan. Belum lama Nabi S.A.W meletakkan baju besinya, dan baginda kembali membangun peribadi kaum Muslim sehingga baginda terpaksa kembali memakai baju besinya dan kembali berperang. Ketika musuh-musuh Islam yang berada di sekelilingnya melihat bahawa kemampuan kententeraan mereka tidak dapat menandingi kemampuan kaum Muslim, maka mereka sengaja melakukan cara-cara baru untuk memerangi Islam. Iaitu peperangan psikologi atau peperangan urat saraf dengan cara menyebarkan berbagai macam isu atau apa yang dinamakan Al-Qur'an al-Karim dengan peristiwa al-Ifik (kebohongan). Setelah peperangan Bani Musthaliq iaitu peperangan yang membawa kemenangan yang cepat bagi kaum Muslim, terjadilah kesalahfahaman dan pertengkaran di antara sahabat-sahabat yang biasa mengambil air di mana salah seorang mereka berteriak: "wahai kaum Muhajirin," dan yang lain berteriak: "Wahai kaum Ansar."


Peristiwa yang sangat remeh itu dimanfaatkan oleh pemimpin kaum munafik iaitu Abdullah bin Ubai. Abdullah bin Ubai memprovokasi orang-orang Ansar untuk menyerang kaum Muhajirin. Dia ingin membangkitkan luka-luka jahiliah yang lama yang telah dibuang dan telah dikubur oleh Islam, Salah satu yang dikatakan oleh Ibnu Ubai adalah, "sungguh mereka telah menyaingi kita dan mengambil kebaikan dari dan seandainya kita telah kembali ke Madinah nescaya orang-orang yang mulai akan dapat mengusir orang-orang yang hina di dalamnya.


Zaid bin Arqam menyampaikan kalimat si munafik itu kepada Nabi S.A.W, di mana kalimat itu berisi provokasi terhadap orang-orang Ansar untuk menyerang kaum Muhajirin. Ubai menginginkan agar mereka berpecah belah dan agar kesatuan mereka runtuh. Si Munafik itu segera datang kepada Rasul S.A.W dan menafikan apa yang dikatakannya. Orang-orang Muslim secara lahiriah membenarkan perkataan si munafik itu dan mereka justru menuduh Zaid bin Arqam salah mendengar. Tetapi hakikat peristiwa itu tidak tersembunyi dari Nabi S.A.W sehingga peristiwa itu sangat menyedihkan baginda. Lalu baginda mengeluarkan perintah agar para sahabat pergi ke suatu tempat yang tidak biasanya mereka lalui. Kemudian baginda pergi bersama sahabat di hari itu sampai waktu malam menyelimuti mereka. Dan kini, mereka memasuki waktu pagi. Kepergian yang singkat dan tiba-tiba itu mampu menepis kebohongan yang dirancang oleh si Munafik, Abdullah bin Ubai. Iaitu kebohongan yang bertujuan untuk membakar persatuan kaum Muslim ketika ia berusaha untuk menyalakan api di tengah-tengah rumah sang Nabi S.A.W.

Comments