AHMAD PAZIL MD ISA

KEMATIAN ABU TALIB DAN KHADIJAH

 


KEMATIAN ABU TALIB, BAPA SAUDARA RASULULLAH S.A.W (619 M)

Abu Talib insan yang telah menjaga baginda S.A.W dan telah banyak melindungi baginda saat awal permulaan fasa dakwah. Walaupun begitu, sehingga akhir hayat Abu Talib tidak terbuka hati untuk memeluk agama Islam. Abu Talib telah meninggal dunia pada bulan Rejab, tahun kesepuluh kenabian, selepas enam bulan berakhirnya peristiwa pemulauan. Dikatakan bahawa kematian beliau ialah pada bulan Ramadan, iaitu tiga hari sebelum kewafatan Khadijah r.ha.


Dalam hadis yang sahih riwayat daripada al-Musayyah, katanya, “Menjelang kematian Abu Talib, Rasulullah S.A.W mengunjungi beliau, dan di sisi beliau adanya Abu Jahal. Rasulullah S.A.W berkata, “Hai, bapa saudaraku, ucapkanlah la ilaha illallah, satu kalimah yang aku akan berhujah dengannya di sisi Allah.” Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah pula berkata,“Hai, Abu Talib, adakah kamu tidak suka dengan agama Abd al-Muttalib?” Lalu, sentiasalah mereka berdua mengulangi kata-kata itu sehingga kalimah terakhir yang diucapkan oleh Abu Talib ialah, ‘Di atas agama Abd al- Muttalib.’ Maka, Rasulullah S.A.W berkata, “Akan ku pohonkan keampunan untukmu selagi aku tidak dilarang berbuat demikian.”


Maka dengan itu turunlah ayat:


مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَن يَسۡتَغۡفِرُواْ لِلۡمُشۡرِكِينَ وَلَوۡ كَانُوٓاْ أُوْلِي قُرۡبَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمۡ أَنَّهُمۡ أَصۡحَٰبُ ٱلۡجَحِيم  ١١٣


Maksudnya: Tidaklah sepatutnya bagi nabi dan orang yang beriman meminta ampun bagi orang musyrik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang musyrik itu adalah ahli neraka. (Al-Tawbah: 113)


إِنَّكَ لَا تَهۡدِي مَنۡ أَحۡبَبۡتَ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ  ٥٦


Maksudnya: Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan siapa yang akan mendapat petunjuk (kepada memeluk Islam). (Al-Qasas: 56)


Dalam hadis sahih Riwayat al-Abbas bin Abd al-Muttalib mengatakan bahawa beliau berkata kepada Rasulullah S.A.W, “Apakah engkau tidak dapat menolong bapa saudaramu sedangkan dia melindungi kamu dan marah demimu?” Jawab Rasulullah S.A.W, “Dia berada dalam tempat yang cetek dari neraka. Kalaulah tidak kerana aku, nescaya dia berada di lapisan terbawah dari neraka.”



KEWAFATAN KHADIJAH ISTERI RASULULLAH S.A.W (620M)


Selepas kematian Abu Talib, kira-kira dua bulan atau tiga hari (berdasarkan dua perbezaan pendapat), Khadijah Ummul Mukminin r.ha pula meninggal dunia, iaitu pada bulan Ramadan, tahun kesepuluh kenabian. Ketika itu, usia beliau ialah 65 tahun; Rasulullah S.A.W ketika itu berusia 50 tahun.


Sesungguhnya Khadijah r.ha adalah salah satu nikmat terbesar yang dikurniakan ALLAH S.W.T kepada Rasulullah S.A.W. Khadijah r.ha tinggal bersama Rasulullah S.A.W selama suku abad, sentiasa bersama-sama merasai saat-saat mencemaskan, membantu Rasulullah S.A.W semasa keadaan yang getir dan sukar, menyebarkan risalahnya, menyertai Rasulullah S.A.W membayar harga jihad yang pahit, mengorbankan kepentingan diri dan harta bendanya. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Dia beriman denganku ketika orang ramai mengkufuriku; dia mempercayaiku ketika orang ramai mendustakan aku; dia berkongsi denganku harta bendanya ketika orang ramai menghalangku, dan Allah mengurniakan kepadaku anaknya dan menghalangku mendapat anak daripada selainnya.”


Dalam hadis sahih daripada Abu Hurairah ra, katanya, “Jibrail datang kepada Rasulullah S.A.W sambil berkata, ‘Wahai Rasulullah, ini Khadijah telah datang membawa bersama-samanya bekas di dalamnya ada lauk atau makanan atau minuman. Apabila dia sampai kepadamu, sampaikan salam Tuannya kepadanya dan khabarkan berita gembira kepadanya dengan sebuah rumah di syurga daripada permata yang di dalamnya tidak ada hiruk-pikuk dan keletihan.””


Dua peristiwa yang menyedihkan (kematian Saidatina Khadijah r.ha dan Abu Talib) ini berlaku dalam selang beberapa hari sahaja. Peristiwa-peristiwa ini menyebabkan perasaan sedih dan pilu dalam jiwa Rasulullah S.A.W. Setelah berturut-turut musibah yang menimpa Rasulullah S.A.W angkara kaumnya sendiri. Mereka semakin berani terhadap Rasulullah S.A.W. Selepas kematian Abu Talib, mereka menyakiti Rasulullah S.A.W secara terbuka. Oleh sebab itu, bertambahlah dukacita Rasulullah S.A.W sehingga Rasulullah S.A.W berputus asa terhadap mereka.


Maka, Rasulullah S.A.W pun keluar ke Taif dengan harapan dapat menyampaikan dakwah di sana atau mendapatkan bantuan penduduk Taif untuk Rasulullah S.A.W menghadapi kaumnya. Malangnya, Rasulullah S.A.W tidak menemui orang yang mahu memberi Baginda S.A.W perlindungan atau membantunya. Malah, mereka menyakiti Rasulullah S.A.W dengan lebih hebat lagi. Mereka bertindak ke atas Rasulullah S.A.W dengan lebih buruk berbanding apa yang dilakukan oleh kaum Rasulullah S.A.W sendiri.


Oleh itu, disebabkan penderitaan bertalu-talu yang Rasulullah S.A.W hadapi pada tahun itu, maka Rasulullah S.A.W menamakan tahun tersebut sebagai Tahun Kesedihan. Gelaran tahun ini menjadi terkenal dalam sejarah Islam.


Comments