AHMAD PAZIL MD ISA

PERJANJIAN HUDAIBIYYAH




Demikianlah kaum Yahudi dibersihkan dari Madinah. Nabi S.A.W kembali melanjutkan pergelutannya. Puncak dari perjuangan politiknya adalah perjanjian yang baginda lakukan bersama orang-orang Quraisy. Nabi S.A.W berjalan untuk melaksanakan umrah dan mengunjungi Baitul Haram. Baginda keluar bersama seribu empat ratus kaum lelaki yang bertujuan untuk berziarah ke Baitul Haram guna melaksanakan umrah. 


Ketika mereka sampai di Hudaibiyah pinggiran kota Mekah, tiba-tiba unta yang ditunggangi Nabi duduk dan ia tidak mahu melangkah menuju Mekah. Melihat itu para sahabat berkata: "Oh unta itu malas." Nabi S.A.W berkata: "Tidak Demikian namun ia ditahan oleh Zat yang menahan laju gajah menuju Mekah. Sungguh jika hari ini orang Quraisy membuat suatu rencana dan mereka meminta agar aku menyambung tali silaturahmi nescaya aku akan menyetujuinya." 


Nabi S.A.W memerintahkan para sahabat agar tetap tinggal di Hudaibiyah. Kaum Muslim beristirahat di sana dengan harapan mereka dapat memasuki Mekah di waktu pagi. Peristiwa itu bertepatan dengan bulan Haram. Mekah telah menetapkan agar tak seorang pun dari kaum Muslim dapat memasukinya. Semua kaum Quraisy telah keluar untuk memerangi kaum Muslim. Mereka mengutus utusan-utusan kepada Nabi S.A.W lalu baginda memberitahu mereka bahawa baginda tidak datang untuk berperang namun baginda ingin melakukan umrah sebagai bentuk pujian dan syukur kepada ALLAH S.W.T dan mengagumkan kemuliaan rumah-Nya yang suci. Mekah menetapkan untuk melakukan perjanjian bersama kaum Muslim di mana mereka menginginkan agar jangan sampai kaum Muslim memasuki Baitul Haram pada tahun ini kecuali setelah mereka kembali pada tahun depan.


Datanglah juru runding kaum Quraisy lalu Rasul S.A.W menyambutnya dan mendengarkan ia menyampaikan syarat-syarat perjanjian yang intinya pelaksanaan perdamaian dan penarikan mundur pasukan Muslim. Nabi S.A.W menyetujui semua syarat-syarat perjanjian meskipun tampak bahawa perjanjian tersebut tidak menguntungkan kaum Muslim di mana itu dianggap sebagai titik kemunduran politik dan ketenteraan kaum Muslim, dan yang menambah kebingungan kaum Muslim adalah bahawa Rasul S.A.W tidak melibatkan seseorang pun dari kalangan sahabatnya untuk bermusyawarah dalam hal ini. Tidak biasanya baginda bersikap demikian. Para sahabat menyaksikan baginda pergi menemui kaum musyrik dan bersikap sangat lembut kepada mereka, dan baginda tidak kembali kecuali membawa berita persetujuan dengan perjanjian yang ditandatangani orang-orang musyrik, dan baginda pun meletakkan tanda tangan di atasnya.


Para sahabat bergerak untuk menentang Rasulullah S.A.W. Mereka bertanya kepada baginda, "bukankah engkau utusan ALLAH S.W.T? Bukankah kita kaum Muslim? Bukankah musuh-musuh kita kaum musyrik?" Nabi S.A.W hanya mengiyakan pertanyaan-pertanyaan tersebut. Umar bin Khatab kembali bertanya: "Mengapa kita harus menerima penghinaan dalam agama kita?" Umar ingin mengungkapkan sesuai dengan bahasa kita saat ini, "mengapa kita harus mundur kalau kita berada di atas kebenaran? Mengapa kita menerima syarat-syarat perjanjian yang justru menguntungkan kaum musyrik? Apakah kita takut terhadap mereka?" 


Mendengar berbagai protes yang disampaikan para sahabatnya, Rasul S.A.W justru menyampaikan jawapan yang unik bagi mereka di mana beliau berkata: "Aku adalah hamba ALLAH S.W.T dan Rasul-Nya dan aku tidak mungkin menentang perintah-Nya dan Dia tidak mungkin akan menyia-nyiakan aku." Makna dari kalimat beliau adalah, "taatilah apa yang telah aku lakukan tanpa perlu memperdebatkannya dan hendaklah kalian sedikit bersabar." 


Perjalanan hari menetapkan bahawa perjanjian yang menimbulkan pro dan kontra di tengah-tengah sahabat itu justru membawa kemenangan politik paling gemilang yang pernah dicapai oleh umat Islam. Kemenangan tersebut diperoleh sebagai hasil dari kebijaksanaan sang Nabi S.A.W yang mengalahkan kepintaran politik kaum Quraisy. Kaum Quraisy telah memfokuskan semua kepintaran-nya agar kaum Muslim kembali ke tempat mereka tanpa memasuki Masjidil Haram pada tahun ini, namun hikmah Nabi S.A.W justru mampu mencapai kepintaran yang tidak dapat dijangkau oleh kaum itu yang berkenaan dengan masa depan. Jika saat ini perjanjian tersebut tampak membawa kekalahan bagi kaum Muslim, maka setelah berlangsung beberapa bulan ia justru mendatangkan kemenangan yang menakjubkan.


Suhail bin Amr adalah wakil dari delegasi kaum Quraisy dan Ali bin Abi Thalib adalah juru tulis dalam perjanjian itu dari pihak Nabi S.A.W. Rasulullah S.A.W berkata kepada Ali: "Tulislah dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang." Utusan Quraisy berkata, aku tidak mengenal ini. Tapi tulislah dengan nama-Mu, ya Allah. Rasulullah S.A.W berkata kepada Ali: "Dengan nama-Mu, ya Allah." Sikap keras kepala utusan Quraisy itu tidak bererti sama sekali kerana tidak ada perbezaan yang mencolok antara dengan namamu Allah dan dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang selain niat si pembicara.


Nabi S.A.W berkata kepada Ali: "Ini adalah perundingan antara Muhammad S.A.W utusan Allah dan Suhail bin Amr." Mendengar itu dengan nada menentang Suhail bin Amr berkata: "Seandainya aku bersaksi bahawa engkau adalah utusan Allah nescaya aku tidak akan memerangimu, tetapi tulislah namamu dan nama ayahmu." Nabi berkata kepada Ali tulislah: "Inilah kesepakatan antara Muhammad bin Abdillah dan Suhail bin Amr." 


Tampaknya itu adalah kemunduran yang kedua dan dengan pandangan yang sekilas tampak menjatuhkan kaum Muslim tetapi Nabi S.A.W ingin mewujudkan suatu tujuan yang penting iaitu tujuan yang belum terungkap saat itu. Alhasil, semuanya terjadi dengan ilham dari ALLAH S.W.T. Ali kembali menulis bahawa Muhammad bin Abdillah dan Suhail bin Amr sama-sama sepakat untuk menghentikan peperangan selama sepuluh tahun di mana hendaklah masing-masing mereka memberikan keamanan terhadap sesama mereka. Namun jika terdapat di antara orang-orang Quraisy seseorang yang masuk Islam lalu ia datang kepada Muhammad S.A.W tanpa izin walinya hendaklah kaum Muslim mengembalikannya kepada kaum Quraisy. Sebaliknya, jika ada orang yang murtad dari sahabat Muhammad S.A.W, maka tidak ada keharusan bagi orang Quraisy untuk mengembalikannya kepada Nabi. 


Syarat tersebut sangat menyakitkan kaum Muslim. Tampak bahawa orang-orang Quraisy memaksakan kehendaknya dalam syarat-syarat perjanjian yang tidak adil itu. Ali melanjutkan tulisannya, hendaklah Nabi S.A.W pulang dari Mekah pada tahun ini dan tidak memasukinya dan jika pada tahun depan orang-orang Quraisy keluar darinya, maka baginda dapat memasukinya untuk melaksanakan umrah selama tiga hari dan setelah itu baginda harus meninggalkannya. Pensyaratan tersebut sangat merugikan kaum Muslim dan terkesan membingungkan. 


Di tengah-tengah perjanjian tersebut terjadi suatu peristiwa yang menambah penderitaan dan kebingungan Muslimin di mana anak dari juru runding Quraisy meminta perlindungan kepada kaum Muslim. Dia masuk Islam dan ingin bergabung dengan kelompok Islam namun ayahnya, Suhail segera bangkit menyusulnya bahkan memukulnya dan mengembalikannya kepada kaumnya. Orang Mukalaf itu segera berteriak dan meminta pertolongan kepada kaum Muslim agar mereka menyelamatkannya dari kejahatan kaum Quraisy sehingga mereka tidak mengubah agamanya. Rasulullah S.A.W berbicara kepadanya dan meminta kepadanya untuk bersabar dan tegar dalam menanggung penderitaan kerana ALLAH S.W.T akan menjadikannya dan orang-orang yang sepertinya suatu jalan keluar dan kelapangan. 


Nabi memahamkannya bahawa baginda telah mengadakan suatu perjanjian dengan kaum Quraisy dan bahawa kaum Muslim tidak mungkin melanggar perjanjian mereka.


Akhirnya, anak Muslim itu dikembalikan ke Mekah dalam keadaan terseksa. Kemudian Selesailah penandatanganan perjanjian antara pihak kaum Muslim dan pihak kaum musyrik. Setelah penandatanganan perjanjian itu, Rasulullah S.A.W memerintahkan para sahabatnya agar mereka memotong haiwan korban dan mencukur rambut mereka (tahalul) dari umrah mereka dan kembali ke Madinah. Namun tak seorang pun bangkit menyambut perintah tersebut, lalu baginda mengulangi perintahnya ketiga kali. Di tengah-tengah kaum Muslim yang tampak membisu kerana ketegangan dan kesedihan, baginda menyembelih unta dan memanggil tukang cukurnya untuk mencukur rambutnya dan baginda tidak berbicara dengan seorang pun. Ketika para sahabat mengetahui bahawa Nabi S.A.W tampak marah dan telah mendahului mereka dengan tahalul dari umrahnya, maka mereka bangkit untuk menyembelih korban dan memotong rambut mereka. 


Perjalanan hari menunjukkan bahawa perundingan tersebut tidak seperti yang dibayangkan oleh kaum Muslim. Ia justru membawa kemenangan dan bukan kekalahan. Persatuan kaum kafir di jazirah Arab mulai runtuh sejak mereka menandatangani perjanjian itu. Kaum Quraisy dianggap sebagai pimpinan kaum kafir dan pembawa bendera penentangan terhadap Islam, maka ketika tersebar berita perjanjian mereka bersama kaum Muslim, maka padamlah fitnah-fitnah kaum munafik yang bekerja untuk mereka dan bercerai-berailah kabilah-kabilah penyembah patung di penjuru jazirah.


Saat aktiviti kaum Quraisy terhenti, maka kaum Muslim mengalami peningkatan aktiviti di mana mereka berhasil menarik orang-orang yang masih memiliki kemampuan untuk melihat kebenaran. Sejak dua tahun dari masa penandatanganan perjanjian itu jumlah penganut Islam semakin bertambah lebih dari jumlah sebelumnya. Bukti dari itu adalah, bahawa saat Rasul S.A.W keluar ke Hudaibiyah baginda ditemani dengan seribu empat ratus Muslim namun ketika baginda keluar pada tahun penaklukan kota Mekah baginda disertai dengan sepuluh ribu Muslim.


Penaklukan kota Mekah terjadi setelah dua tahun dari perundingan tersebut. Penambahan jumlah kaum Muslim yang luar biasa ini adalah dikeranakan hikmah sang Nabi S.A.W dan kejauhan pandangannya. Nabi S.A.W keluar sebagai pemenang dalam pergelutan politiknya, dan syarat-syarat yang tadinya merugikan kaum Muslim kini telah berubah menjadi syarat-syarat yang merugikan kaum Quraisy. Barang siapa murtad dari kaum Muslim dan pergi ke kaum Quraisy, maka hendaklah mereka melindunginya kerana ALLAH S.W.T telah memampukan Islam darinya, dan barangsiapa yang masuk Islam dari kaum kafir dan pergi ke kaum Muslim, maka hendaklah mereka mengembalikannya ke kaum Quraisy di mana ia tinggal di dalamnya sebagai mata-mata dari pihak Islam atau ia dapat lari dari kaum Quraisy untuk menyatukan kelompok yang bertikai dan ia dapat hidup laksana duri di tengah-tengah kaum Quraisy. 


Belum lama waktu berjalan sehingga kaum Quraisy mengutus utusannya kepada Nabi S.A.W dan mengharap kepada baginda agar melindungi orang Quraisy yang masuk Islam daripada membiarkan mereka sebagai panah yang terbang menuju kaum Quraisy. Demikianlah kaum Quraisy justru membatalkan syarat yang telah mereka persetujui dan Nabi S.A.W pun menerimanya dengan puas. Perundingan itu justru menguatkan barisan Nabi S.A.W..


Comments