Demikianlah hari berlalu dalam pergelutan yang tidak pernah padam, suatu pergelutan yang dipimpin oleh Nabi sehingga baginda menaklukkan Mekah dan menyucikan jazirah Arab. Akhirnya, manusia masuk dalam agama ALLAH S.W.T dalam keadaan berbondong-bondong, dan ALLAH S.W.T menyempurnakan agama bagi kaum Muslim dan Nabi S.A.W melaksanakan haji wada' (haji yang terakhir) dan turunlah kepada beliau wahyu di Arafah sebagaimana firman-Nya:
"Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu. " (QS. al-Maidah: 3)
Ayat tersebut dibacakan kepada Abu Bakar sehingga dia menangis. ALLAH S.W.T merasa bahawa telah tiba waktunya untuk mengakhiri misi Rasul-Nya. Aisyah berkata kepada anak-anak yang berteriak dan bermain-main di luar rumah: "Diamlah kalian kerana Rasulullah S.A.W sedang sakit." Anak-anak itu pun terdiam dan mereka merasakan ketakutan yang luar biasa. Pada hari-hari terakhir, Rasulullah S.A.W tidak lagi bercanda dengan mereka sebagaimana yang biasa baginda lakukan.
Mereka memperhatikan bahawa kepucatan yang aneh menyelimuti Nabi S.A.W yang biasanya wajah baginda dipenuhi dengan senyuman hingga wajahnya laksana lempengan emas. Nabi S.A.W yang terakhir masuk dalam rumahnya dan hampir saja baginda tidak kuat menahan langkah kedua kakinya. Baginda memasuki rumahnya dan bersandar kepada tangan Fadl bin Abbas dan Ali bin Abu Thalib. Baginda merasakan keletihan dan kesakitan. Kemudian Aisyah menidurkan baginda di atas ranjangnya yang kasar dan Aisyah meletakkan tangannya di atas kening baginda. Kepala baginda tampak panas kerana saking hebatnya demam. Aisyah berkata dalam keadaan kedua matanya mengucurkan air mata, "demi ayah dan ibuku, ya Rasulullah apakah engkau merasakan sakit?" Nabi S.A.W tersenyum untuk menenangkan Aisyah lalu baginda tertidur. Kemudian mengalirlah dalam memori Nabi S.A.W berbagai gambar hidup: Jibril turun kepada beliau dengan membawa wahyu di gua Hira. Baginda telah melewati waktu yang diberkati selama dua puluh tiga tahun, yang sekarang tampak seperti mimpi. Bahkan empat puluh tahun yang mendahuluinya tampak seperti gambar yang hanya dilukis sesaat.
Segala sesuatu menjadi mudah bagi ALLAH S.W.T dan Rasulullah S.A.W telah berhasil melalui berbagai penderitaan dengan penuh kesabaran, bahkan baginda tidak pernah mengeluh sekali pun. Baginda mengajarkan akidah kepada para pengikutnya dengan penuh kemantapan. Akhirnya, Islam menjadi mulia dan benderanya semakin berkibar. Kemudian baginda bangun kerana melihat tangisan yang tersembunyi dari Aisyah. Baginda membuka kedua matanya dan melihat wajah Aisyah sambil baginda sendiri berusaha melawan rasa pusing, demam, dan sakit yang dirasakannya. Baginda kembali tersenyum untuk menenangkan Aisyah dan baginda kembali memejamkan matanya dan tidak sedarkan diri. Apa gerangan yang menyebabkan Aisyah menangis? Tidakkah ALLAH S.W.T memahkotai jihad Nabi S.A.W yang berat dengan penaklukan Mekah dan penyucian Baitul Haram?
Kira-kira 3 bulan selepas kembali daripada menunaikan haji Wada, Nabi Muhammad S.A.W menderita sakit yang cukup serius. Baginda kali pertama mengadu akan kesakitannya semasa di rumah Ummul Mukminin, Maimunah. Baginda sakit selama 10 hari, kemudian akhirnya wafat pada hari Isnin 12 Rabiul Awal ketika baginda berusia 63 tahun
Nabi Muhammad S.A.W meminta kepada para isterinya untuk dirawat di rumah Aisyah. Aisyah mengusap badan Nabi Muhammad S.A.W sambil membaca surah Al-Widzatain (Surah Al-Falaq dan An-Nas )
Ketika baginda dalam keadaan kritikal, berkatalah baginda kepada para sahabat:
"Kemarilah, aku ingin menulis untuk kalian yang dengan itu kalian tidak akan tersesat setelahnya" .
Nabi Muhammad S.A.W memanggil Fatimah lalu berbisik, kemudian Fatimah menangis. Nabi memanggilnya kembali dan berbisik kemudian Fatimah tersenyum. Setelah Nabi Muhammad S.A.W wafat, Fatimah memaparkan bahawa dia menangis sebab diberitahu bahawa baginda akan wafat, dan tersenyum sebab menerima bisikan bahawa dirinya adalah ahli keluarga pertama yang akan menyusul beliau.
Menjelang kewafatan Nabi Muhammad S.A.W, sakit yang baginda rasa semakin kritikal sehingga baginda tidak mampu untuk solat berjemaah di masjid bersama para sahabat. Baginda bersabda : " Suruhlah Abu Bakar supaya solat mengimami manusia "
Pada satu hari, Nabi keluar dengan dipapah oleh Ibnu Abbas dan Ali untuk solat berjemaah, seterusnya beliau berkhutbah. Beliau memberi pujian dan menjelaskan kelebihan Abu Bakar dalam khutbahnya itu dimana dia (Abu Bakar) dipilih oleh ALLAH S.W.T di antara dunia dan akhirat, Abu Bakar memilih akhirat.
Khutbah yang disampaikan itu adalah 5 hari menjelang kewafatan Nabi Muhammad. Baginda bersabda:
"Sungguh ada seorang hamba yang ditawarkan dunia dan perhiasannya, namun ia memilih akhirat".
Abu Bakar memahami bahawa maksudnya itu adalah dirinya. Dia pun menangis. Melihat hal tersebut, para sahabat yang lain berasa hairan kerana tidak merasakan apa sebenarnya yang dirasakan oleh Abu Bakar
Rasulullah S.A.W membuka tabir bilik Aisyah semasa solat Subuh, hari dimana akan wafatnya Nabi Muhammad S.A.W, kemudian baginda memandang para sahabat yang sedang berada dalam saf-saf solat berjemaah. Baginda tersenyum dan tertawa kecil seakan mengundur diri daripada mereka. Para shahabat amat gembira dengan kehadiran Nabi. Abu Bakar berundur kerana menganggap Rasulullah ingin solat berjemaah bersama mereka. Namun, baginda memberikan isyarat tangan agar mereka menyelesaikan solat mereka terlebih dahulu. Kemudian, baginda menutup semula tabir.
Fatimah masuk menemui beliau dan berkata: "Alangkah berat penderitaan ayah" . Maka baginda menjawab : "Setelah hari ini, tidak akan ada lagi penderitaan". Ternyata itulah hari Nabi Muhammad S.A.W wafat. Usamah bin Zaid masuk , dan beliau memanggilnya dengan isyarat. Baginda sudah tidak sanggup lagi bercakap kerana sakitnya yang semakin berat.
Ketika menjelang Nabi Muhammad wafat, baginda bersandar di dada Aisyah. Aisyah mengambil siwak pemberian saudaranya bernama Abdur Rahman. Baginda lalu bersiwak dengannya. Rasulullah S.A.W memasukkan tangannya ke dalam bejana yang berisi air dan membasuh mukanya. Baginda bersabda: "Tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Allah. Sesungguhnya pada setiap kematian itu ada saat-saat mati ".
Dan Aisyah secara samar-samar masih mendengar baginda bersabda: "Bersama orang-orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah". Lalu baginda berdoa: "Ya Allah, pertemukan aku dengan Ar-Rafiiqul-A'laa (ALLAH S.W.T)". Aisyah tahu bahawa baginda waktu itu disuruh memilih dan baginda pun memilih Ar-Rafiiqul-A'laa (ALLAH S.W.T). Akhirnya waktu wafatnya Nabi Muhammad pun tiba pada hari itu. Baginda wafat pada waktu Dhuha dan ada yang mengatakan pada waktu tergelincirnya tengah hari. Pada waktu itu, kepada baginda di pangkuan Aisyah.
Abu Bakar segera masuk, semasa Nabi Muhammad wafat dia tidak berada di tempat itu. Dia membuka penutup wajah baginda, lalu menutupnya kembali dan menciumnya. Dia pun keluar menemui orang ramai. Ketika itu, orang ramai dalam keadaan antara percaya dan tidak percaya atas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W. Umar antara sahabat yang tidak percaya atas berita Nabi Muhammad S.A.W wafat. Orang ramai pun kemudian berkumpul menemui Abu Bakar.
Abu Bakar berkata: "Amma ba'du, barangsiapa di antara kalian yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad saat ini telah wafat. Dan barangsiapa di antara kalian yang menyembah ALLAH, maka sesungguhnya ALLAH itu Maha Hidup dan tidak akan pernah mati.
ALLAH S.W.T telah berfirman
Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu) (QS. A-li'Imraan 3:144).
Mendengar itu, kemudian para sahabat merasa tenang. Sementara itu, Umar duduk di tanah tidak sanggup berdiri. Seakan-akan mereka belum pernah mendengar ayat tersebut melainkan pada saat itu sahaja
Fatimah berkata :
"Wahai ayah, Rabb telah memenuhi doamu
Wahai ayah, syurga Firdaus tempat kembalimu
Wahai ayah, pada Jibril kami kabarkan atas kewafatanmu ".
Semoga Allah melimpahkan, salam, barakah, dan nikmat kepada Nabi-Nya, keluarganya, dan para sahabatnya .

Comments
Post a Comment