AHMAD PAZIL MD ISA

KISAH ASHABUL UKHDUD

 A


KISAH ASHABUL UKHDUD

SURAH AL-BURUUJ (85) 4-10


Celakalah kaum yang menggali parit, (4) (Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran, (5) (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya, (6) Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman. (7) Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji! (8) Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu. (9) Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat). (10)


Ashab al-Ukhdud bermaksud orang yang menggali parit. Imam Muslim telah meriwayatkan sebuah hadis yang panjang menceritakan tentang kisah Ashab al-Ukhdud, Penyihir, Rahib dan Pemuda dalam satu bab yang khusus.


SAHIH MUSLIM 3005


Hadis yang diriwayatkan oleh Suhaib RA, secara ringkasnya peristiwa Ashab al-Ukhdud bermula apabila tukang sihir diraja meminta untuk dicari pengganti kerana usianya yang semakin lanjut. Oleh sebab itu, si raja telah mengirim kepadanya seorang pemuda untuk dilatih sebagai pengganti. Namun pemuda tersebut lebih memilih untuk beriman kepada ALLAH S.W.T dan berguru dengan seorang rahib, lalu beliau dianugerahkan ALLAH S.W.T kerana keimanannya dengan kelebihan dapat menyembuhkan pelbagai penyakit seperti kusta, sopak, buta dan sebagainya. Berita ini sampai kepada raja lalu pemuda tersebut ditangkap dan diseksa serta dipaksa untuk mengiktiraf raja tersebut sebagai tuhan dengan meninggalkan keimanannya kepada ALLAH S.W.T. Disebabkan enggan berbuat demikian, pemuda tersebut dihukum dengan dicampakkan dari atas gunung namun beliau tidak mati. Malah dia juga dihumbankan ke dalam laut, tetapi dengan kuasa ALLAH S.W.T tindakan raja tersebut gagal membunuhnya. Hal ini kerana, doa pemuda tersebut agar dibebaskan daripada segala seksaan telah dimakbulkan ALLAH S.W.T. Setelah beberapa kejadian itu, pemuda tersebut berkata kepada sang raja: “Sesungguhnya kamu tidak akan mampu membunuhku melainkan kamu menurut segala permintaanku.” si raja pun meminta untuk diberitahu kepadanya dan akan menunaikan segala permintaan. Lalu pemuda itu pun berkata: “Engkau himpunkan orang ramai kemudian ikatkan aku pada sebatang pokok di hadapan mereka. Setelah itu, ambillah anak panahku dan lancarkanlah ke arahku sambil berkata: Dengan nama Allah, tuhan kepada pemuda ini. Nescaya engkau akan dapat membunuhku”. Tanpa membuang masa, raja langsung melakukan apa yang dipinta oleh pemuda itu, panahan tepat mengenai badannya lalu meninggal.


Peristiwa ini disaksikan oleh orang ramai, dengan melihat keajaiban itu mereka mula beriman kepada ALLAH S.W.T sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan pemuda ini” berulang kali. Kejadian ini menimbulkan lagi kemarahan sang raja, lalu beliau memerintahkan pengikutnya menggali parit serta dinyalakan api yang marak di dalamnya. Lantas beliau bertitah: “Sesiapa yang tidak mahu kembali ke agama asal, aku akan membakarnya hidup-hidup”. Tanpa belas kasihan seorang demi seorang dihumbankan ke dalam parit yang marak dengan api yang menyala. Bila tiba giliran seorang wanita yang sedang menggendong anaknya, wanita tersebut seakan-akan sangsi dan teragak-agak untuk terjun ke dalam api kerana sayangkan anaknya. Tidak disangka-sangka, anaknya berkata: “Bersabarlah wahai ibuku, sesungguhnya kamu di jalan yang benar


Comments