AHMAD PAZIL MD ISA

AL-HAWARIYYUN PENGIKUT NABI ISA A.S

 A

Al-Hawariyyun mengakui kebenaran ajaran Nabi Isa dan mereka menyatakan keislaman kepadanya, sebagaimana ratu Saba' mengakui kebenaran ajaran Nabi Sulaiman dan menyatakan keislaman padanya, dan sebagaimana semua para nabi menyatakan keislaman. Hakikat ajaran para nabi terbatas kepada pernyataan keislaman dan semua nabi menyeru kepada jalan tauhid dan jalan Islam. Islam dalam pandangan kami memiliki makna yang lebih dalam daripada tauhid. Pengakuan seseorang terhadap ALLAH S.W.T dan keimanan akan keesaan-Nya dalam menciptakan makhluk tidak mencegah orang itu untuk berbuat dosa, sedangkan keislaman atau penyerahan hati dan anggota badan serta pemikiran kepada ALLAH S.W.T merupakan suatu tingkatan sedikit lebih tinggi. Ini adalah tingkat kepatuhan orang-orang yang patuh dan puncak ketauhidan orang-orang yang bertauhid. Itu adalah keserasian antara tindakan dengan fikiran, iaitu usaha manusia untuk menghindari kesalahan dan memurnikan amal hanya untuk ALLAH S.W.T. Al-Quran al- Karim memberitahu kita bahawa ALLAH S.W.T menyampaikan wahyu kepada al-Hawariyyun agar mereka beriman kepadanya dan kepada Rasul-Nya Isa.


Marilah kita renungkanlah sejenak tentang wahyu ALLAH S.W.T terhadap Hawariyyun. Kita mengetahui bahawa ALLAH S.W.T mewahyukan kepada manusia dan kepada makhluk-makhluk lainnya. ALLAH S.W.T berfirman: 


"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mewahyukan kepada lebah..." (QS. an-Nahl: 68) 


Yang dimaksud dengan wahyu di sini adalah memberikan ilham kepada makhluk agar mereka menuju ke jalan fitrahnya yang telah ALLAH S.W.T gariskan di atasnya sehingga mereka mencapai jalan kesempurnaan. Tidakkah Anda ingat tentang jawapan Nabi Musa terhadap pertanyaan Fira'un: 


"Fir'aun berkata: 'Siapakah Tuhan kamu berdua wahai Musa. " (QS. Thaha: 49)


"Musa berkata: 'Tuhan kami ialah (Tuhan) yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk kejadiannya kemudian memberinya petunjuk. " (QS. Thaha: 50)


Makna di sana dan di sini sama. Makna yang sama tersebut diterapkan kepada kaum Hawariyyun di mana wahyu ALLAH S.W.T terhadap mereka berupa pemberian ilham kepada mereka demi kebaikan mereka dan kebahagiaan mereka, dan wahyu ini tidak bertentangan dengan ikhtiar mereka dan usaha mereka serta keinginan mereka, bahkan tidak bertentangan dengan kebebasan mereka. ALLAH S.W.T telah melihat hati mereka yang dipenuhi dengan kebaikan. Dia melihat mereka sebagai garam bumi, maka ALLAH S.W.T mewahyukan kepada mereka agar beriman kepadanya dan rasul-Nya sehingga mereka pun beriman dan mereka pun bersaksi bahawa mereka orang-orang yang berserah diri atau Muslim.


Tampaknya kaum Hawariyyun menyembunyikan keimanan mereka sehingga nabi Isa merasakan kekufuran kaumnya semakin menjadi-jadi lalu nabi Isa memanggil mereka: "Siapakah di antara kalian yang menolong aku menuju jalan ALLAH S.W.T?" 


ALLAH S.W.T berfirman: 


"Maka tatkala Isa mengetahui keingkaran dari mereka (Bani Israil) berkatalah dia: 'Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku untuk menegakkan (agama) Allah?' Para Hawariyyun (sahabat-sahabat setia) menjawab: 'Kamilah penolong-penolong (agama) Allah. Kami beriman kepada Allah; dan saksikanlah bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang menyerahkan diri. Ya Tuhan kami, kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan dan telah kami ikuti rasul, kerana itu masukkanlah kami ke dalam golongan orang- orang yang menjadi saksi.'" (QS. Ali 'Imran: 52-53)


Nas Al-Quran menunjukkan bahawa Nabi Isa mengajak mereka untuk mengikuti Islam sehingga mereka pun berserah diri; nas Al-Quran menegaskan bahawa Nabi Isa menyampaikan khabar gembira dengan kedatangan seorang rasul yang datang setelahnya yang bernama Ahmad. 


Dikatakan dalam Al-Quran:


"Dan (ingatlah) ketika Isa putera Maryam berkata: 'Hai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab yang turun sebelumku, iaitu Taurat dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad).' Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: 'Ini adalah sihir yang nyata.'" (QS. Shaff: 6) 


Kita tidak mengetahui secara pasti bilakah Nabi Isa menyampaikan khabar berita tentang kedatangan seorang rasul ini yang datang setelah masanya, iaitu Ahmad S.A.W. Apakah khabar berita itu beliau sampaikan dipermulaan pengutusannya kepada manusia, atau apakah beliau menyampaikan khabar itu pada akhir masa dakwahnya dan sebelum beliau diangkat ke langit? Tetapi melihat konteks Al-Quran tampaknya khabar berita tersebut itu disampaikan di permulaan dakwahnya, sebagaimana firman-Nya: "Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: 'lni adalah sihir yang nyata.'"


Kata ganti (dhamir) dalam ayat tersebut kembali kepada Nabi Isa. Ayat tersebut menunjukkan bahawa Nabi Isa menyampaikan khabar gembira dengan datangnya Muhammad atau Ahmad ketika Allah S.W.T mengutus kepada kaumnya. Kemudian terjadilah di hadapan Nabi Isa berbagai macam mukjizat yang luar biasa seperti penghidupan orang yang mati, peniupan tanah, dan sebagainya. Ketika Nabi Isa datang membawa bukti-bukti yang jelas ini, maka mereka menuduhnya bahawa dia membawa sihir. Nabi Isa mengetahui bahawa tuduhan semacam ini telah dialamatkan kepada sebahagian besar para nabi sebelumnya. Beliau juga mengetahui bahawa nabi yang terakhir pun akan mendapatkan tuduhan yang sama. Oleh kerana itu, nabi yang mulia itu tetap berdakwah di jalan ALLAH S.W.T dan tidak peduli dengan tuduhan kaumnya yang mengatakan bahawa beliau membawa sihir.


Kemudian pertentangan antara Nabi Isa dan Bani Israil semakin meningkat. Mereka adalah orang-orang yang hatinya keras, yang membeku di hadapan kebenaran. Nabi Isa datang kepada mereka dan menghancurkan segala pemikiran mereka dan kehidupan mereka serta sistem mereka. Sesungguhnya dakwah Nabi Isa terfokus kepada kebenaran, kedamaian dan keadilan dan pada saat yang sama mengumumkan peperangan terhadap kehidupan orang-orang yang lalim yang telah menjauhi kebenaran. keadilan, dan kedamaian. Injil Matius menyebutkan melalui lisan nabi Isa: "Janganlah kalian mengira bahawa aku membawa kedamaian ke muka bumi. Aku tidak datang hanya membawa kedamaian tetapi aku datang membawa pedang."


Kalimat tersebut menyiratkan hakikat yang penting dari hakikat dakwah para nabi. Para nabi adalah pejuang sejati di mana senjata yang mereka gunakan di medan peperangan beraneka ragam. tetapi mereka pada hakikatnya adalah pejuang. Mereka memulai peperangan mereka dengan satu pemikiran yaitu suatu tekad mengatakan bahawa tiada Tuhan selain ALLAH S.W.T. Pemikiran itu tentu berbenturan dengan kepercayaan akan tuhan-tuhan yang diyakini oleh manusia, baik tuhan-tuhan yang terbuat dari emas atau batu. Pemikiran itu sangat mengganggu ketenangan orang-orang yang lalim atau penguasa yang bengis serta sangat melawan kepentingan mereka, sehingga para raja dan para penguasa seperti biasanya bergerak menentang nabi kecuali orang yang mendapatkan petunjuk dari ALLAH S.W.T. Para pembesar dari kalangan kaum nabi menentang nabi. Al-Mala' adalah para pembesar sebagaimana telah kami jelaskan dalam kisah Nabi Nuh dan sesudahnya. Kemudian Nabi terus melangsungkan peperangan mewujudkan tekadnya: Nabi meletakkan dasar peperangannya dengan menyampaikan ketuhanan ALLAH S.W.T.


Setelah meneguhkan dasar yang kuat ini, Nabi menetapkan keadilan. Tak seorang pun berhak untuk menghinakan seseorang atau menjadikannya sebagai budak kerana penghambaan hanya pantas ditujukan kepada ALLAH S.W.T. Manusia adalah sama di antara mereka sehingga tidak berhak seseorang untuk memanfaatkan kekuatan manusia untuk membangun kejayaan peribadinya atau untuk memperkaya dirinya dengan merugikan orang lain, atau menghancurkan hak-hak mereka atau berbuat buruk terhadap mereka dalam berbagai bentuknya. Jadi, inti dakwah para nabi berarti mengganti dan mengubah sistem yang rosak yang didirikan oleh para pembesar kaumnya. Kalau begitu, ia adalah dakwah yang menyatakan peperangan dan kerana itu seseorang nabi harus membawa senjata. Setelah meneguhkan pemikiran tersebut, dimulailah peperangan. Seorang nabi menggunakan pedang. Ia berlindung di balik senjata dan senjata yang dimiliki oleh setiap nabi berbeza-beza. 


Mula-mula seorang nabi tidak menggunakan senjata apa pun dalam peperangannya selain berusaha untuk membangkitkan akal. Lalu peperangan semakin meningkat sehingga nabi terpaksa untuk menggunakan senjata. Para musuh memaksanya untuk menggunakan senjata sehingga para nabi pun menggunakan senjata. Di sini setiap nabi mempunyai senjata yang berbeza-beza. Terkadang senjata seorang nabi berupa mukjizat yang dapat menghentikan langkah dan menghancurkan mereka seperti taufan (kisah Nabi Nuh) atau angin (kisah Nabi Hud), dan terkadang senjata para nabi adalah mukjizat yang membantunya untuk mengalahkan musuh-musuhnya secara pasti seperti ditundukkannya jin dan burung baginya (kisah Nabi Sulaiman) dan senjata nabi berupa mukjizat yang menyelamatkannya dari tipu daya musuh seperti berubahnya api menjadi sesuatu yang dingin dan membawa keselamatan (kisah Nabi Ibrahim) dan terkadang senjata nabi yang luar biasa yang memperkuat dakwahnya seperti menghidupkan orang-orang yang mati (kisah Nabi Isa) dan terkadang senjata nabi berupa pedang yang dipegang di tangannya saat ia melangsungkan peperangan dan mempertahankan dakwahnya (kisah Nabi Muhammad SAW).


Jadi, senjata para nabi berbeza-beza, baik dalam bentuk kualiti mahupun kapasitinya. ALLAH S.W.T mengetahui keadaan mereka lebih dari apa yang kita ketahui sehingga ALLAH S.W.T sangat tepat ketika memilihkan senjata untuk setiap nabi. Dan tak seorang nabi pun yang tinggal di suatu tempat sementara dia tidak berjuang dan tidak bergerak dan tidak mengalami penderitaan dari kaumnya. Oleh kerana itu, sesuai dengan kadar kesabaran para nabi dan perjuangan mereka dalam menyampaikan dakwah di jalan ALLAH S.W.T, mereka layak untuk mendapatkan tempat yang istimewa di sisi ALLAH S.W.T.


Nabi Isa bin Maryam telah menyampaikan bahawa beliau adalah seorang pejuang yang membawa senjata. Kata-katanya sendiri berusaha menghancurkan masyarakat yang keras, masyarakat yang bodoh. Masyarakat di zaman Nabi Isa berdiri di atas kesalahan, kesyirikan, kebohongan, kemunafikan, materialisme, mementingkan diri sendiri, kezaliman dan tidak ada kebebasan. Maka melalui kalimat-kalimatnya, Nabi Isa menghancurkan semua ini. Nabi Isa memberitahu kaumnya bahawa dakwahnya di jalan ALLAH S.W.T bukan terfokus pada dakwah kedamaian tetapi dalam hal-hal tertentu dakwahnya pun berisi pernyataan perang. Sesuatu menjadi tidak bernilai ketika tidak berusaha dipertahankan oleh yang bersangkutan sampai titis darah penghabisan. Timbulnya pemikiran-pemikiran, nilai-nilai dan prinsip-prinsip tidak hanya bersandar kepada idealismenya tetapi nilainya justru bersandar kepada usaha keras yang dikerahkan oleh para pembawanya dalam rangka mempertahankannya. Tanpa peperangan dan mengangkat senjata dakwah para nabi akan menjadi pemikiran-pemikiran yang sekadar idealisme yang tidak akan menghentikan seseorang pun dan tidak akan membangkitkan seseorang pun.


Kita mengetahui bahawa sebahagian besar nabi berhadapan dengan kelompok besar dari masyarakat yang menentangnya dan berusaha memeranginya. Mula-mula mereka mengejeknya dan pada akhirnya mereka berusaha untuk membunuhnya. Kita mengetahui bahawa para nabi berusaha mati-matian untuk memperjuangkan kebenaran yang dibawanya. Melalui kisah para nabi, kita mengetahui bahawa bagaimana serangan masyarakat, para pembesar, dan para penguasa terhadap para nabi tetapi pada saat yang sama kita seakan-akan tidak melihat bagaimana serangan para nabi terhadap mereka. Penjelasan dari hal itu sangat mudah. Peperangan yang dibangkitkan oleh kebatilan atas para nabi didukung oleh alat-alat yang canggih dan sangat kuat di mana mereka memiliki berbagai macam sarana untuk menjatuhkan para nabi, sedangkan para nabi hanya menyandarkan kekuatan dari yang Maha Benar, iaitu ALLAH S.W.T; kekuatan yang tidak berdasarkan pada sebab-sebab tertentu atau tidak peduli dengan tuduhan-tuduhan atau kegaduhan. 


Para nabi hanya terus melangsungkan dakwahnya yang berdasarkan kepada usaha membangkitkan akal dan hati serta menyucikan roh. Keteguhan sikap para nabi ini bagi musuh-musuh mereka merupakan masalah yang besar. Dakwah nabi juga menjamah suatu keluarga di mana seorang ayah dapat beriman sementara seorang anak dapat menentang atau seorang anak dapat beriman sementara si ayah dapat menentang atau seorang isteri beriman atau seorang suami kafir atau seorang suami beriman sementara si isteri kafir. 


Perbezaan anak laki-laki dengan ayahnya dan seorang isteri dengan suaminya menimbulkan permusuhan di dalam rumah-rumah. Dengan terjadinya hal ini, masyarakat bergerak untuk menentang nabi dan semakin meningkatkan tekanan-tekanan mereka kepadanya sehingga permusuhan dan kebencian mereka kepada nabi semakin meruncing. Mereka pun berusaha untuk melawan nabi itu yang bagi mereka telah memisahkan antara ayah dan anaknya atau ia datang untuk memisahkan seorang anak perempuan dari ibunya.


Kemudian seorang nabi meletakkan suatu undang-undang bagi orang yang mengikutinya, iaitu undang-undang pokok yang membatalkan undang- undang yang tidak sesuai dengannya. Undang-undang ini tampak dalam kalimat nabi: "pertama-tama cinta kepada ALLAH S.W.T dan kemudian cinta kepada nabi dan setelah itu cinta kepada sesama manusia." Makna-makna yang demikian ini tercermin secara jelas dari kalimat-kalimat Isa yang disampaikan oleh Injil Matius pada pasal ke-10.


Al-Masih berkata: "Janganlah engkau mengira bahawa aku datang membawa kedamaian di bumi, aku datang bukan hanya membawa kedamaian tetapi pedang. Aku datang untuk menjadikan seorang anak berbeza dengan ayahnya dan seorang anak perempuan berbeza dengan ibunya sehingga musuh seseorang justru terdapat pada keluarganya. Maka barang siapa yang mencintai ibunya dan ayahnya lebih dari kecintaannya kepadaku, maka ia tidak berhak mencintaiku, dan barang siapa yang mencintai anak laki-lakinya dan perempuannya lebih dariku, maka ia tidak berhak mengikutiku. Meskipun kehidupannya tampak beruntung sebenarnya ia telah rugi, dan barang siapa yang kehidupannya merugi kerana aku, maka sebenarnya ia telah beruntung."


Penjelasan Injil mengatakan: "Pemikiran orang-orang Yahudi tentang al-Masih adalah, ketika al-Masih datang, maka semua pengikutnya akan merampas kekayaan dan kejayaan di dunia ini lalu ia hanya memberi mereka ketenangan dan kedamaian. Ketika al-Masih datang, ia menjelaskan kepada para muridnya bahawa hal tersebut tidak benar, kerana jika dia datang untuk memberikan kedamaian kepada para pengikutnya, maka mereka akan terancam kezaliman dan mereka akan mati kerana tajamnya pedang. Maka hendaklah mereka tidak mengharapkan kedamaian tetapi peperangan; hendaklah mereka tidak mengharapkan keserasian tetapi perpecahan." Demikianlah masyarakat Yahudi terbagi menjadi dua kelompok: kelompok orang-orang yang fakir, orang-orang yang lemah dan orang-orang yang bersih hatinya bersama nabi Isa, sedangkan kelompok majoriti menentang nabi Isa. Bahkan kelompok majoriti kafir itu sering menyakiti nabi Isa. 


Injil Matius menceritakan penderitaan al-Masih pada pasal ke-11. Ia menceritakan bagaimana kemarahan al-Masih terhadap orang-orang yang tidak mengabdi kepada Yuhana (Yahya) dengan baik atau mengabdi kepadanya secara peribadi dengan baik. Injil Matius mengutip pernyataan nabi Isa sebagai berikut: "Dengan apa aku menyerupakan generasi ini, Sesungguhnya mereka menyerupai anak-anak kecil yang duduk di pasar yang berteriak-teriak memanggil teman-teman mereka sambil berkata: "Kami telah meniup seruling tetapi kalian tidak menari. Kami mengasihi kalian tetapi kalian tidak menangis." Yuhana telah datang dan tidak makan dan minum tetapi mereka mengatakan, sesungguhnya ia terkena syaitan. lalu datanglah seorang anak manusia yang makan dan minum lalu mereka mengatakan, dia adalah seorang yang ahli makan dan ahli minum khamer." 


Dokumen itu menunjukkan penderitaan al-Masih dan menyingkap peperangan yang akan dihadapinya. Penderitaan yang dialami oleh hati suci al-Masih adalah sebagai tindakan generasi tersebut di mana beliau diutus di dalamnya sebagai orang yang memberi petunjuk dan menyampaikan berita gembira tentang kerajaan langit. Beliau menyerupakan generasi Yahudi itu dengan anak-anak kecil yang duduk- duduk di pasar sambil berteriak-teriak memanggil teman-teman mereka sambil berkata: "kami telah meniup seruling tetapi kalian tidak menari. Kami berbelas kasih kepada kalian tetapi kalian tidak menangis." Al-Masih mengisyaratkan dengan pernyataan itu tentang apa yang diperbuat anak- anak kecil saat mereka bermain-main, di mana biasanya mereka meniru orang-orang yang besar saat mereka bergembira dengan menari-nari dan saat mereka sedih mereka menangis. 


Demikianlah mereka sangat cepat berubah antara bergembira dan sedih tanpa melalui pertimbangan dan kesedaran. Demikianlah keadaan orang-orang Yahudi saat mereka mengabdi kepada Yahya, kemudian saat mereka mengabdi kepada alMasih. Yahya telah datang kepada mereka dalam keadaan menangis, tidak makan dan tidak minum dari apa yang mereka makan dan yang mereka minum. Dia tidak bergaul dengan sembarangan manusia. Telah datang kepada mereka seorang nabi yang ahli ibadah tetapi kebanyakan mereka menolaknya dan mereka mengatakan bahawa dia terkena syaitan. Kemudian datang kepada mereka al-Masih di mana ia makan dan minum bersama pada acara walimah dan hari raya lalu mereka pun menolaknya dan mengatakan bahawa ia suka makan dan minum khamer padahal beliau adalah cermin terbesar dalam menghilangkan syahwat dan kesucian yang sempurna.


Alhasil, generasi itu adalah generasi yang main-main layaknya anak kecil. Tidak ada sesuatu pun yang dapat mempengaruhi mereka dan mereka tidak mau bertaubat. Meskipun demikian, di sana terdapat kelompok kecil dari manusia yang terpengaruh dan bertaubat. Dokumen tersebut menunjukkan betapa beratnya penderitaan nabi Isa di tengah-tengah generasi yang sezaman dengannya. Nabi Isa mengalami banyak penderitaan dalam menyampaikan dakwahnya. Nabi Isa banyak menderita di tengah-tengah kaum yang fikiran mereka belum matang. Mereka tak ubahnya seperti anak- anak kecil yang suka bermain-main. Kaum yang tak tergugah oleh kalimat-kalimat yang baik dan mereka tidak bergerak atau tersentuh ketika menyaksikan mukjizat-mukjizat yang luar biasa. 


ALLAH S.W.T kembali memperkuat nabi Isa dengan mukjizat-mukjizat yang mengagumkan. Mukjizat di sini adalah senjata yang diberikan ALLAH S.W.T kepada nabi-Nya agar nabi tersebut menjadi tenteram dan agar menambah keyakinan orang-orang yang beriman kepadanya, sedangkan bagi orang-orang kafir mukjizat tersebut justru menambah kekufuran mereka sehingga ALLAH S.W.T memberikan pembalasan yang setimpal kepada kedua kelompok tersebut. Mukjizat yang ALLAH S.W.T berikan kepada Isa bin Maryam yang lain adalah, ALLAH S.W.T mengabulkan doa Hawariyyun dengan menurunkan makanan dari langit. ALLAH S.W.T berfirman:


"(Ingatlah), ketika pengikut-pengikut Isa berkata: 'Hai Isa putera Maryam, bersediakah Tuhanmu menurunkan hidangan dari langit kepada kami?' Isa menjawab: 'Bertakwalah kepada Allah jika betul- betul kamu orang yang beriman.' Mereka berkata: 'Kami ingin memakan hidangan itu dan supaya tenteram hati kami dan supaya kami yakin bahawa kamu telah berkata benar kepada kami, dan kami menjadi orang-orang yang menyaksikan hidangan itu.' Isa putera Maryam berdoa: 'Ya Tuhan kami, turunkanlah kiranya kepada kami suatu hidangan dari langit (yang hari turunnya) akan menjadi hari raya bagi kami yaitu bagi orang-orang yang bersama kami dan yang datang sesudah kami, dan menjadi tanda bagi kekuasaan-Mu: beri rezekilah kami dan Engkaulah Pemberi rezeki Yang Paling Utama.' Allah berfirman: 'Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu kepadamu, barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah (turun hidangan) itu, maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan seksaan yang tidak pernah Aku timpakan kepada seorang pun di antara umat manusia.'" (QS. al-Maidah: 112-115)


Barangkali kita kehairanan ketika memperhatikan perkataan Hawariyyun, "wahai Isa bin Maryam, apakah Tuhanmu mampu?" Mungkin pertama-tama yang terlintas dalam fikiran kita berkenaan dalam ayat tersebut adalah, keraguan Hawariyyun terhadap kekuatan atau kekuasaan ALLAH S.W.T. Bagaimana hal itu mampu mereka lakukan sedangkan mereka adalah murid-murid nabi Isa yang beriman dan berserah diri kepada ALLAH S.W.T? Berkaitan dengan tafsir ayat tersebut, para ulama berbeza pendapat. Sebahagian ulama mengatakan, bahawa pertanyaan mereka 'apakah Tuhanmu mampu?' Kemudian mereka mencarikan alasan yang membenarkan perkataan Hawariyyun itu dengan mengatakan bahawa pertanyaan itu dilontarkan saat mereka baru saja mengikuti nabi Isa, sebelum mereka banyak mengetahui ALLAH S.W.T. Oleh kerana itu, nabi Isa berkata dalam jawapannya terhadap pertanyaan mereka, bertakwalah kepada ALLAH S.W.T jika kamu benar-benar orang mukmin. Yakni, janganlah kalian meragukan kekuasaan atau kekuatan ALLAH S.W.T. 


Qurthubi menampik tafsir ini. Hawariyyun adalah para penolong ALLAH S.W.T, sesuai dengan nas Al-Quran dan tentu tidak boleh bagi penolong ALLAH S.W.T untuk tidak mengetahui kekuatan-Nya, apalagi meragukan kekuasaan-Nya. Sebahagian ulama mengatakan bahawa perkataan tersebut dikeluarkan orang-orang yang bersama Hawariyyun yang berasal dari Bani Israil dan tidak seorang pun dari Hawariyyun yang mengatakan demikian kecuali mereka hanya sekadar menukil perkataan tersebut. Ada pendapat lain lagi yang mengatakan bahawa ayat tersebut tidak dibaca 'hal yastathi' rabbuka' tetapi dibaca 'hal tastathi' rabbaka' sebagaimana bacaan Aisyah dan sebagaimana dibaca oleh Nabi. Maknanya, "apakah engkau mampu menghadirkan kekuatan Tuhanmu terhadap apa yang engkau minta." Ada pendapat yang lain mengatakan ia dibaca 'hal tastathi' rabbaka', yakni "apakah engkau mampu untuk berdoa kepada Tuhanmu atau meminta-Nya." 


Sebahagian kaum sufi berpendapat bahawa kaum Hawariyyun bukan tidak mengetahui kekuasaan ALLAH S.W.T tetapi pertanyaan itu justru bersumber dari cinta kepada ALLAH S.W.T dan keinginan menyaksikan kekuasaan ALLAH S.W.T. Sikap mereka ini menyerupai dengan perbezaan tingkatan sikap Nabi Ibrahim as ketika beliau mengatakan:


"Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati?' Allah berfirman: 'Apakah kamu belum percaya?' Ibrahim menjawab: 'Saya telah percaya, tetapi agar bertambah mantap hatiku.'" (QS. al-Baqarah: 260)


Oleh kerana itu, kaum Hawariyyun berkata: "Dan hati kami menjadi mantap," sebagaimana Nabi Ibrahim berkata: "Agar bertambah mantap hatiku." Inilah tafsir yang membuat kita puas dan membuat hati kita tenang. Nabi Isa menjawab pertanyaan mereka: 'Bertakwalah kepada Allah jika betul-betul kamu orang yang beriman.' Yakni, hati-hatilah kalian dengan banyak bertanya dan menguji ALLAH S.W.T kerana kalian tidak mengetahui apa yang boleh kalian minta untuk didatangkan bukti-bukti kekuasaan ALLAH S.W.T. Perkataan Nabi Isa, jika kalian benar-benar beriman berfokus kepada apa yang dibawanya yang berupa mukjizat-mukjizat atau tanda-tanda kebesaran ALLAH S.W.T. Nabi Isa bermaksud untuk mengatakan, sesungguhnya apa yang telah aku bawa dari mukjizat-mukjizat bagi kalian seharusnya sudah cukup membuat hati kalian mantap. "Mereka berkata: 'Kami ingin memakan hidangan itu dan supaya tenteram hati kami dan supaya kami yakin bahawa kamu telah berkata benar kepada kami, dan kami menjadi orang-orang yang menyaksikan hidangan itu.'"


Kaum Hawariyyun menjelaskan kepada nabi Isa sebab pertanyaan mereka ketika beliau melarangnya. Jika Nabi Isa keluar, maka beliau diikuti lima ribu orang atau lebih. Sebahagian mereka dari kalangan Hawariyyun dan sebahagian yang lain campuran di antara pengikutnya dan musuhnya. Dikatakan bahawa mereka berpuasa dan mereka tidak mempunyai makanan, lalu para pengikut berkata kepada kaum Hawariyyun, "Tanyalah kepada Isa apakah ia mampu berdoa kepada Tuhannya sehingga diturunkan kepada kita makanan dari langit." Kemudian kaum Hawariyyun pergi dengan membawa surat kaum itu kepada Nabi Isa. Ketika Nabi Isa meminta mereka untuk merasa cukup dengan mukjizat-mukjizat sebelumnya, mereka kembali melontarkan kebenaran permintaan mereka: 'Kami ingin memakan hidangan itu. Mereka adalah orang-orang yang lapar sementara mereka tidak mempunyai makanan. Dan supaya tenteram hati kami. 


Hati kaum Hawariyyun menjadi tenang seperti tenangnya hati Ibrahim. Dan para pengikut pun merasa hatinya tenang dan mengakui bahawa nabi Isa adalah Nabi yang diutus untuk mereka. Dan hati musuh juga menjadi tenang kerana mereka menyaksikan kebatilan mereka sehingga pilihan mereka untuk tidak mengikuti nabi Isa berakibat pada suatu saat mereka akan diminta pertanggungjawaban. 


"Dan supaya kami yakin bahawa kamu telah berkata benar kepada kami. Yakni kami mengetahui bahawa engkau utusan Allah. Dan kami menjadi orang-orang yang menyaksikan hidangan itu. Yakni, kami menyaksikan keesaan Allah dan risalah dan kenabianmu. Dan bagi orang lain yang tidak menyaksikannya, maka kami akan menceritakan kepada mereka peristiwa yang terjadi." 


Isa putera Maryam berdoa: 'Ya Tuhan kami, turunkanlah kiranya kepada kami suatu hidangan dari langit (yang hari turunnya) akan menjadi hari raya bagi kami iaitu bagi orang-orang yang bersama kami dan yang datang sesudah kami, dan menjadi tanda bagi kekuasaan-Mu: beri rezekilah kami dan Engkaulah Pemberi rezeki Yang Paling Utama.' 


Ketika kaum Hawariyyun bertanya kepada Isa bin Maryam agar diturunkan makanan dari langit, maka Nabi Isa berdiri dan meletakkan pakaian dari kulit wol kemudian beliau melangkahkan kakinya dan meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya, lalu beliau menundukkan kepalanya dalam keadaan khusyuk dan tunduk kepada ALLAH S.W.T. Kemudian beliau membuka matanya dan menangis sehingga air matanya membasahi janggutnya bahkan mencapai dadanya dan berkata: 'Ya Tuhan kami, turunkanlah kiranya kepada kami suatu hidangan dari langit... ALLAH S.W.T berfirman: 'Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu kepadamu. 


Lalu turunlah makanan besar dari celah dua awan: satu awan di atasnya satu awan di bawahnya. Saat itu manusia melihatnya. Nabi Isa berkata, "Ya Allah jadikanlah makanan ini sebagai rahmat dan jangan menjadi fitnah." Lalu turunlah di depan Nabi Isa sapu tangan yang menutupinya kemudian Nabi Isa tersungkur dalam keadaan sujud yang diikuti oleh kaum Hawariyyun. Mereka mendapati suatu bau yang harum yang belum pernah mereka temukan sebelumnya.


Nabi Isa berkata, "Siapakah di antara kalian yang paling ikhlas dan paling percaya kepada ALLAH S.W.T agar ia membuka makanan itu sehingga kita bisa makan darinya serta berzikir kepada ALLAH S.W.T atasnya serta bersyukur kepadanya." Kaum Hawariyyun berkata: "Wahai Ruhullah sesungguhnya engkau lebih berhak daripada kami dalam hal itu.", maka Nabi Isa berdiri lalu beliau mengambil wuduk dan solat. Kemudian beliau banyak berdoa sambil duduk di sisi makanan itu dan membukanya. Tiba- tiba di atas makanan itu terdapat ikan yang lazat yang tidak ada durinya. Nabi Isa ditanya: "Wahai Ruhullah, apakah ini makanan dari dunia atau dari syurga?" Nabi Isa menjawab: "Bukankah Tuhan kalian melarang kalian untuk bertanya pertanyaan semacam ini. Ia turun dari langit dan tidak ada makanan sepertinya di dunia dan ia bukan berasal dari syurga tetapi ia adalah sesuatu yang ALLAH S.W.T ciptakan dengan kekuasaan yang luar biasa di mana Dia cukup mengatakan "jadilah, maka jadilah."


Para mufasir berbeza pendapat sekitar bentuk makanan yang diturunkan kepada nabi Isa, apakah itu ikan atau daging? Apakah roti atau buah-buahan? Kami memandang bahawa pembahasan-pembahasan ini kurang penting. Sesuatu yang paling penting yang perlu kita perhatikan adalah apa yang dikatakan oleh Nabi Isa, Sesungguhnya ia diciptakan oleh ALLAH S.W.T dengan kekuasaan yang mengagumkan di mana Dia cukup mengatakan "Jadilah, maka jadilah ia."


Inilah hakikat makanan tersebut. Ia merupakan tanda-tanda kebesaran ALLAH S.W.T iaitu suatu tanda yang ALLAH S.W.T mengancam bagi siapa yang menentangnya Dia akan menyeksanya dengan azab yang belum pernah diterima oleh seseorang pun di dunia. Para ulama berbeza pendapat apakah makanan tersebut memang diturunkan atau tidak, tetapi menurut pendapat majoriti dan ini yang benar makanan tersebut memang diturunkan, sesuai dengan firman ALLAH S.W.T: "Aku akan menurunkan hidangan itu bagimu." 


Dikatakan bahawa ribuan pengikut Nabi Isa memakannya dan makanan tersebut tidak habis. Setiap orang yang buta ia sembuh dari butanya dan setiap orang yang belang ia sembuh dari belangnya akibat memakan hidangan itu. Alhasil, setelah menyantap makanan itu, orang yang sakit sembuh dari penyakitnya. Maka hari turunnya makan itu dijadikan hari raya dari hari raya-hari raya kaum Hawariyun dan para pengikut Nabi Isa. Kemudian berita dan peristiwa turunnya makanan itu mulai hilang dan mulai dilupakan sehingga kita tidak menemukan beritanya hari ini di Injil- Injil yang mereka akui. Setelah peristiwa makanan yang ALLAH S.W.T ceritakan dalam surah al-Maidah, ALLAH S.W.T menunjukkan kepada kita sikap lain dari Nabi Isa bin Maryam. ALLAH S.W.T berkata setelah menceritakan kepada kita tentang turunnya mukjizat makanan dari langit:


"Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: 'Hai Isa putera Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia: 'Jadikanlah aku dan ibuku dua orang tuhan selain Allah!' Isa menjawab: 'Maha Suci Engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakannya). Jika aku pernah mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui perkara yang ghaib. Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau beri padaku (mengatakan)nya yaitu: 'Sembahlah Allah, Tuhanku, dan Tuhanmu,' dan aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka. Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkaulah yang mengawasi mereka. Dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu. Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu, dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.' Allah berfirman: 'lni adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka. Bagi mereka syurga yang di bawahnya mengalir sungai- sungai; mereka kekal di dalamnya selama-selamanya; Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha terhadap-Nya. Itulah keberuntungan yang paling besar.' Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di dalamnya; dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. " (QS. al-Maidah: 116-120)


Dengan ayat-ayat tersebut, Al-Quran menutup surah al-Maidah. Demikianlah konteks Al-Quran berpindah secara mengejutkan dari turunnya makanan kepada sikap atau dialog antara ALLAH S.W.T dan Isa bin Maryam pada hari kiamat. ALLAH S.W.T bertanya pada hari kiamat: 'Hai Isa putera Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia: 'Jadikanlah aku dan ibuku dua orang tuhan selain Allah?'


Para ahli ilmu sepakat bahawa pertanyaan tersebut bukan bersifat pertanyaan murni meskipun tampak dalam bentuk pertanyaan kerana ALLAH S.W.T mengetahui apa yang dikatakan oleh nabi Isa. Tentu yang dimaksud dengan pertanyaan itu adalah sesuatu yang lain. Ada yang mengatakan bahawa ALLAH S.W.T bermaksud memberitahu nabi Isa bahawa kaumnya telah mengubah ajarannya sepeninggalannya. Dan mereka telah mendapatkan fitnah. Ada lagi yang mengatakan bahawa ALLAH S.W.T bermaksud dari pertanyaan itu untuk mencela orang-orang yang mengubah akidah Nabi Isa setelah beliau tidak ada. Kami kira pertanyaan tersebut memuat dua makna dan mencakup makna yang lain.


ALLAH S.W.T ingin menyingkap dan memberitahu manusia dalam Kitab-Nya yang terakhir bahawa Nabi Isa terlepas dari berbagai macam tuduhan, dan apa saja yang dilakukan kaumnya sepeninggalannya. Konteks Al-Quran menunjukkan tentang peristiwa ghaib yang belum terjadi meskipun akan terjadi pada hari kiamat. Oleh kerana itu, Al-Quran menyampaikannya dalam bentuk fi'il madhi (kata kerja bentuk lampau). Al-Quran menyampaikan berita ghaib ini kepada penduduk dunia agar mereka mengetahui hakikat Isa bin Maryam. 


ALLAH S.W.T bertanya kepadanya dan Isa bin Maryam menjawab. Sebagai nabi besar, nabi Isa tidak menjawab kecuali setelah baginda mengatakan: 'Maha Suci Engkau ya Allah.' Sebelum menjawab, nabi Isa memulai dengan tasbih dan menyucikan ALLAH S.W.T. Nabi Isa menampakkan kepatuhan dan ketundukan kepada kemuliaan ALLAH S.W.T dan rasa takut terhadap azab- Nya. Qurthubi menyampaikan dalam tafsirnya: 


"Ketika ALLAH berkata kepada Isa, apakah engkau berkata kepada manusia jadikanlah aku dan ibuku tuhan selain ALLAH, maka Isa tampak gementar terhadap perkataan itu sehingga ia mendengar rintihan dari tulang-tulangnya di dalam jasadnya lalu ia berkata: 'Maha Suci Engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakannya). Tidak mungkin aku memutuskan sesuatu yang tidak aku miliki, yang diriku tidak dapat melakukannya. Aku hanya seorang hamba, bukan seorang yang disembah: Jika aku pernah mengatakannya maha tentulah Engkau telah mengetahuinya.


Demikianlah Nabi Isa menyampaikan jawapannya kepada ALLAH S.W.T dan baginda mengembalikan sesuatu kepada ALLAH S.W.T. Dan ALLAH S.W.T Maha Mengetahui terhadap apa yang dikatakannya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau. Yakni, Engkau mengetahui apa yang aku sembunyikan sedangkan aku tidak mengetahui apa yang engkau sembunyikan. Engkau mengetahui rahsiaku dan apa yang terlintas dalam hatiku dan aku tidak mengetahui apa yang Engkau sembunyikan dari ilmu ghaib-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui perkara yang ghaib. Hanya Engkau yang tahu terhadap hal-hal yang ghaib. Hanya Engkau yang tahu terhadap apa yang terjadi di tengah-tengah mereka setelah Engkau angkat aku dari bumi: 'Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau kepadaku (mengatakan)nya yaitu: 'Sembahlah Allah, Tuhanku, dan Tuhanmu.'


Demikianlah kalimat-kalimat yang disampaikan oleh Isa bin Maryam. Dia hanya mengajak manusia untuk hanya menyembah ALLAH S.W.T dan tidak menyekutukan-Nya: Dan aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka.


Sesungguhnya Engkau mengawasi mereka saat aku tinggal di tengah- tengah mereka dan mengajak mereka ke jalan yang benar. Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkaulah yang mengawasi mereka. Al-Wafat dalam Kitab ALLAH mempunyai tiga bentuk: Pertama, wafat dalam pengertian kematian, sebagaimana firman ALLAH S.W.T:


"Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya." (QS. az-Zumar: 42)


Yakni ketika tercabutnya ajal. Kedua, bahawa wafat adalah tidur, sebagaimana firman Allah SWT:


"Dan Dialah yang menidurkan kamu di malam hari. " (QS. al-An'am: 60)


Yakni yang menidurkan kalian. Ketiga, wafat berarti pengangkatan, sebagaimana firman ALLAH S.W.T:


"Hai Isa, sesungguhnya Aku yang menyampaikan kamu kepada akhir ajalmu dan mengangkat kamu kepada-Ku. " (QS. Ali 'Imran: 55) 


Demikianlah Nabi Isa terbebas dari apa yang mereka katakan dan apa yang mereka nisbatkan kepadanya. Nabi Isa mengumumkan bahawa dakwahnya tidak lebih dari sekadar ajakan untuk bertauhid dan tidak keluar dari kerangka Islam yang diakui oleh pengikutnya. Kemudian Nabi Isa kembali menyampaikan pembicaraannya dan meminta belas kasihan kepada ALLAH S.W.T: Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu. Tidak seorang pun dari makhluk yang mempunyai kekuasaan di atas-Mu dan tidak ada Pencipta selain-Mu. Maha Suci Engkau dan tiada sekutu bagi-Mu dalam kerajaan dan kekuasaan. Pada akhirnya, mereka adalah hamba-Mu dan seorang hamba tidak memiliki apa-apa di hadapan tuannya kecuali kepatuhan: Dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.'


Nabi Isa tidak mengatakan jika Engkau mengampuni mereka, maka Engkau Maha Pengampun dan Maha Pengasih. Jadi, jawapan nabi Isa terfokus pada penyerahan diri dan kepatuhan serta tunduk kepada kemuliaan ALLAH S.W.T dan kebesaran-Nya. Para pengikut Nabi Isa adalah hamba-hamba ALLAH S.W.T yang patuh. Jika ALLAH S.W.T berkehendak, maka Dia akan menyeksa mereka sesuai dengan seksaan yang layak mereka terima, dan jika Dia berkehendak, maka Dia akan mengampuni mereka kerana Dia mengetahui kerana mereka memang layak untuk mendapatkan ampunan. Dengan penyerahan yang mutlak ini, Nabi Isa menyampaikan jawapan atas pertanyaan ALLAH S.W.T dan beliau berlepas diri dari apa yang dikatakan oleh kaumnya sepeninggalannya. Nabi Isa menyampaikan - pada awal pembicaraannya - bahawa hanya ALLAH S.W.T yang patut disembah, dan pada akhir pembicaraannya nabi Isa menyampaikan penyerahan dirinya kepada ALLAH S.W.T. ALLAH berfirman: 'Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka. 


ALLAH S.W.T memuji ketulusan Nabi Isa, dan kerana dialog tersebut terjadi pada hari kiamat, ALLAH S.W.T berfirman: "Hari ini adalah hari kiamat di mana orang-orang yang benar akan dapat mengambil manfaat dari kebenaran mereka di dunia. Kebenaran mereka di sana akan mereka temukan balasannya yang berupa rahmat di sini. "Bagi mereka syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-selamanya; ALLAH redha terhadap mereka dan mereka pun redha terhadap-Nya. " 


Demikianlah balasan orang-orang yang benar, syurga. Dan ada balasan yang lebih baik dari syurga, yaitu kepuasan (redha) seorang hamba terhadap ALLAH S.W.T dan keredhaan ALLAH S.W.T terhadap hamba. Pengertian kepuasan seorang hamba adalah kegembiraannya terhadap penyembahan kepada ALLAH S.W.T sedangkan pengertian keredhaan ALLAH S.W.T terhadap hamba-Nya adalah rahmat yang diberikan-Nya kepada mereka: Itulah keberuntungan yang paling besar.' Setelah itu ALLAH S.W.T, memberitahukan hakikat nabi Isa dan seluruh nabi-Nya: "Kepunyaan ALLAH-lah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di dalamnya; dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu." ALLAH S.W.T adalah Penguasa satu-satunya dan Dia Pencipta satu-satunya. Selain-Nya adalah hamba.


Comments