PEPATAH Melayu ‘kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak’ memberikan pengajaran, supaya kita lebih banyak meneliti kesalahan sendiri daripada membelek kesilapan orang lain.
Dalam karya agung puisi sufi Parsi, Mantiq at-Tayr (Sidang Unggas) karya Sheikh Fariduddin Attar, membawa kisah ahli hadis dan sufi terkemuka, Abu Bakar Shibli yang mengukuhkan pengajaran di sebalik pepatah Melayu itu.
Pada suatu hari, Shibli hilang dari Baghdad hingga menyebabkan anak muridnya kecoh mencari guru mereka.
Selepas lama mencari, ada anak muridnya yang menemukan Shibli, tetapi apa yang mengejutkan adalah apabila guru mereka berada di rumah pelacur pondan.
Anak muridnya pun bertanya: “Jelaskan kepada kami apakah tujuannya tuan guru berada di tempat sebegini?”
Shibli pun menjawab: “Manusia di rumah pelacuran ini bukanlah lelaki mahupun wanita, dalam apa-apa juga dosa yang mereka lakukan di dunia ini.
“Aku juga seperti, mereka tetapi dalam persoalan iman. Aku hilang dalam ketidakpastianku dan malu untuk mengakui siapakah aku sebenar,” katanya.
Selepas menceritakan anekdot Shibli itu, Attar pun menulis pesanannya dalam mathnawi itu.
Tiada martabat lebih tinggi daripada hamba
sama ada di hadapan khalayak atau sendirian
jangan berpura-pura, mendakwa itu dan ini
jadilah abdi, serahkan dirimu pada jalan salik
bukannya pada Uzza, ketua berhala disembah.
Bagaimana mungkin kau berpura menjadi sufi
kala kau sembunyikan ratusan berhala dalam jubahmu?
Usah kau berbolak-balik, mengubah fikirmu dan kalau kau masih begitu
jangan kau mengenakan jubah sang salik pada diri yang bukan.
Kisah Shibli dan pesanan Attar itu memberikan banyak pengajaran, antaranya kepentingan bermuhasabah terhadap kedudukan iman dan amal berbanding sibuk menelaah perbuatan orang lain.
Apatah lagi perjalanan menuju kepada Allah SWT dipenuhi dengan pelbagai ujian dan cubaan-Nya khususnya daripada godaan hawa nafsu serta pujukan syaitan.
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2019/07/582237/teliti-salah-sendiri-bukan-orang-lain

Comments
Post a Comment